Gelandangan dituduh bunuh rakan

Gelandangan dituduh bunuh rakan

surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seorang gelandangan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh rakan gelandangannya, bulan lalu.

Muhammad Aiman Abdullah, 39, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan.

“Sudah jelas,” jawabnya ringkas di kandang tertuduh.

Tiada pengakuan direkodkan berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mualaf itu didakwa menyebabkan kematian lelaki, P Saravanan, 45, di tepi jalan (bawah jambatan) Jalan Tun Sambathan berhampiran sebuah hotel di KL Sentral, di sini antara 9.45 malam hingga 10.07 malam, 23 November lalu.

Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh digantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang 12 kali sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Farah Nabihah menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Media melaporkan, seorang gelandangan ditemui mati yang pada mulanya polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, sebaik laporan bedah siasat diterima, mangsa mati disebabkan hentakan kuat di kepala.

Siasatan polis mendapati, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati tertuduh melakukan perbuatan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top