khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sedang berbincang bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk mendaya-upayakan gelandangan sebagai penyelesaian isu pembersihan sampah di Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, rancangan itu antara perkara yang mahu dilaksanakan menerusi program Bersih Setiap Tempat (BeST) di semua kawasan Parlimen dalam Wilayah Persekutuan.
“Kempen BeST ini bertujuan meningkatkan tahap kebersihan, kesedaran sivik serta rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan.
“Kempen ini dilancarkan pada 19 Januari 2025 dan turut dilaksanakan serentak di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
“Inisiatif ini selari dengan visi Bandar CHASE, di mana kebersihan menjadi salah satu komponen utama dalam membentuk sebuah clean city (bandar bersih) dan akan dipanjangkan untuk dilaksanakan sendiri oleh mereka yang berminat termasuk komuniti, majlis perwakilan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penjaja dan lain-lain,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan P Prabakaran (PH-Batu) mengenai langkah yang diambil oleh JWP untuk memperbaiki pengurusan sampah dan mengatasi masalah pembuangan sampah haram di kawasan tumpuan pelancong serta pusat bandar.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) turut memperkasakan inisiatif ‘waste to wealth’ dan ‘zero waste’ bagi meningkatkan pengurusan sisa serta kelestarian alam sekitar di Wilayah Persekutuan.
“Antaranya, program 1 Komuniti 1 Kitar Semula (1C1R) yang membolehkan komuniti menukar barangan kitar semula kepada keperluan harian melalui sistem barter atau pembayaran sewa rumah bagi penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).
“Mereka juga boleh menjana pendapatan dengan pertukaran minyak masak terpakai,” katanya.
Selain itu, Dr Zaliha turut menggariskan beberapa langkah dalam memperbaiki pengurusan dan mengatasi masalah pembuangan sampah haram.
“Pertamanya, SWCorp dan Alam Flora meningkatkan kutipan sampah di pusat bandar sementara zon bebas sampah diperkenalkan dengan kompaun maksimum RM500 bagi kesalahan membuang sampah serta menambah frekuensi sehingga tiga kali pembersihan dalam tempoh 24 jam.
“Kedua, pemasangan 2,000 CCTV (kamera litar tertutup) berteknologi AI (kecerdasan buatan) di Kuala Lumpur bagi mengesan aktiviti pembuangan sampah haram. Ops Penguatkuasaan Anti-litter dikuatkuasakan, dengan 2,457 kompaun dikeluarkan pada 2024 di bawah Akta 133 (Akta Jalan, Parit dan Bangunan).
“Ketiga di Putrajaya, pemantauan kebersihan dilakukan sekurang-kurangnya 24 kali setahun, sementara di Labuan kutipan sisa domestik dijadualkan tiga kali seminggu di luar bandar dan setiap hari di kawasan bandar,” katanya.
Katanya, langkah lain adalah DBKL melancarkan Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur Ke Arah Sifar Sisa 2040 dengan sasaran 60 peratus pengurangan sisa menjelang 2040 ke tapak pelupusan.
“Ini membuktikan komitmen berterusan JWP serta agensi di bawahnya dalam memastikan pengurusan sampah sentiasa berada pada tahap yang terbaik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd