Gelanggang futsal baru beri manfaat 90,000 penduduk

Gelanggang futsal baru beri manfaat 90,000 penduduk

asmaini@mediaprima.com.my

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terus komited memperkasa pembangunan infrastruktur sukan komuniti menerusi perasmian gelanggang futsal baharu di Dataran Anak Muda, PJS 1, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Projek pembangunan gelanggang futsal itu membabitkan kos RM790,000 dan siap sepenuhnya akhir tahun lalu.

Kemudahan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada hampir 90,000 penduduk di kawasan PJS1 dan sekitarnya.

Ia sekali gus menyediakan ruang rekreasi yang kondusif dan selamat untuk aktiviti riadah serta pembangunan bakat sukan.

Majlis perasmian disempurnakan Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohamad Zahri Samingon.

Ia turut diserikan dengan perlawanan persahabatan futsal antara kelab Futsal South Avenue (SA) dan pasukan Blok Bois yang menambah kemeriahan serta semangat kesukanan dalam kalangan komuniti setempat.

Dengan siapnya gelanggang futsal ini, MBPJ optimis lebih banyak program sukan dan aktiviti komuniti dapat dilaksanakan secara berterusan, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan peningkatan kualiti hidup warga Petaling Jaya.

MBPJ turut berharap kemudahan yang disediakan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat serta dipelihara dengan baik bagi mengelakkan sebarang aktiviti vandalisme yang boleh menjejaskan harta awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top