Koror: Presiden Palau mengumumkan pembukaan gelembung perjalanan dengan Taiwan dan menyifatkan ia sebagai sinar menunjukkan dunia dengan perlahan-lahan keluar daripada cengkaman pandemik COVID-19.
Selepas melakukan lawatan promosi ke Taiwan, Presiden Surangel Whipps membawa sekitar 100 pelancong ke negara pulau kecil Pasifik pada Khamis lalu melalui penerbangan pelancongan pertama sejak Palau menutup sempadannya pada Mac tahun lalu.
Whipps yang sempat berswafoto ketika penari tradisional menyambut ketiban pelancong, berkata beliau bertenaga dan teruja pada majlis berkenaan.
“Kita boleh melakukannya … ada sinar di hujung terowong. Ia menjadi bertambah baik dan kita dapat melawan wabak ini.
“Seharusnya ia tidak boleh melumpuhkan kita, tidak boleh menghalang kita. Kita harus terus berusaha untuk maju… anda semua berada di sini memulakan perjalanan ini,” katanya kepada pelancong.
Palau, sebuah negara dengan 18,000 penduduk terletak 1,000 kilometer (600 batu) dari timur Filipina, adalah satu daripada beberapa kawasan di dunia yang tidak merekodkan kes COVID-19.
Bagaimanapun ekonominya yang bergantung kepada pelancongan terjejas oleh wabak itu dan ketika Whipps dipilih pada November lalu, beliau mengutamakan gelembung perjalanan dengan Taiwan, yang berjaya mengekang penularan virus kepada masyarakat.
Walaupun Taiwan berstatus bebas wabak, langkah ketat akan tetap diambil termasuk menguji semua pelancong sebelum penerbangan mereka dan mengehadkan kepada kumpulan pelancongan, tanpa lawatan individu.
Untuk meminimumkan hubungan dengan penduduk Palau, pelancong harus menginap di hotel yang ditentukan, makan di kawasan restoran yang terpisah dan berbelanja hanya pada waktu yang ditentukan.
Whipps mengakui bahawa ujian calitan bukanlah cara terbaik untuk memulakan percutian dan berkata dari semasa ke semasa, beberapa peraturan boleh dilonggarkan.
“Saya tahu ia tidak selesa tetapi ini adalah untuk menjaga keselamatan orang ramai,” katanya.
Palau merancang mengadakan 16 penerbangan seminggu, yang menurut Whipps akan membantu membina semula ekonomi.
Walaupun begitu, terdapat elemen politik yang membawa kepada koridor perjalanan terbabit, dengan Palau satu daripada 15 negara yang mengakui kedaulatan Taiwan meskipun ada tekanan kuat daripada Beijing.
Mesej politik yang menggarisi kejadian itu ialah ketika Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Palau, John Hennessey-Niland, menemani Whipps ke Taiwan menjelang penerbangan Khamis lalu.
Kehadirannya di Taiwan adalah lawatan yang amat jarang dilakukan oleh diplomat yang masih berkhidmat dan menjengkelkan China, yang menganggap pulau dengan 23 juta penduduk itu sebagai sebahagian wilayahnya dan berjanji untuk merebutnya kembali walau dengan apa cara.
Whipps mengucapkan terima kasih kepada Hennessey-Niland kerana menyertainya dan menyatakan bahawa vaksin yang dibekalkan AS sangat penting untuk membolehkan ia membuka negaranya kepada Taiwan.
“Kami berterima kasih atas kerjasama dan kemurahan hati AS yang memberikan vaksin kepada Palau untuk membolehkan koridor perjalanan ini,” katanya. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd