Geli tapi mahal harganya!

Geli tapi mahal harganya!

am@hmetro.com.my

Jelebu: Walaupun ada yang geli menyentuhnya namun ternakan belut dianggap menguntungkan berikutan ia boleh mencecah sehingga RM40 sekilogram.

Hidupan ini yang memiliki sumber khasiat tinggi mendapat permintaan tinggi di pasaran. Difahamkan kesukaran mendapatkan benih belut menyebabkan ada penternak terpaksa membatalkan hasrat menternak belut,

Bagaimanapun Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kerajaan negeri akan membantu industri akuakultur dan penternak belut menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, Jabatan Perikanan akan diminta melakukan kajian lebih terperinci berkaitan penternakan belut sekiranya ternakan itu mampu membantu rakyat khususnya penduduk kampung yang mahu mengusahakan ternakan belut.

“Sekiranya ramai yang memohon dan mendapat permintaan banyak bagi menternak belut, kita akan minta Jabatan Perikanan membuat kajian terperinci terlebih dahulu.

“Kajian itu penting sebelum sesuatu industri berkepentingan atau berskala besar dijalankan bagi mengelakkan sebarang kesulitan berlaku di kemudian hari,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Surau Taman Mahogani di sini, tadi.

Hadir sama Pegawai Daerah Jelebu Abdul Rahim A Aziz dan Pegawai Agama Islam Daerah Mohd Murad Mohd Yusof.

Jalaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup berkata berapa projek ternakan belut di negeri lain yang sudah berjaya boleh dijadikan model untuk ternakan itu diusahakan di negeri ini.

Ketika ini belut mendapat permintaan tinggi dikalangan pengusaha makanan apabila dijadikan sup atau digoreng sambal dengan harga semangkuk sup belut boleh mencecah sehingga RM20.

Sementara itu mengulas mengenai kolam rakyat, Jalaluddin berkata, kerajaan mensasarkan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mempunyai sekurang-kurangnya satu kolam dalam usaha membekalkan sumber protein kepada golongan B40.

Katanya kolam rakyat akan diuruskan oleh komuniti yang dipilih dengan benih ikan dilepaskan seperti tilapia dan keli.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Jelebu itu turut bersetuju dengan cadangan supaya FELDA diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berikutan perlu ada satu kementerian yang menguruskan FELDA.

Katanya, sebanyak 54 Parlimen mempunyai kawasan FELDA dan di Negeri Sembilan misalnya ada lebih 40 tanah rancangan FELDA membabitkan Parlimen Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin.

“Apabila diletakkan di bawah satu kementerian, urusan berkaitan kepentingan 3.5 juta warga FELDA dapat dilaksanakan dengan berkesan berbanding ketika diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri ,”katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top