Gelombang haba ekstrem landa Eropah Selatan

Gelombang haba ekstrem landa Eropah Selatan
Pengunjung menyejukkan badan mereka dengan air pancut di Taman Awam Andre-Citroen di Paris.

Pengunjung menyejukkan badan mereka dengan air pancut di Taman Awam Andre-Citroen di Paris.

ROM – Gelombang haba luar biasa melanda bahagian Eropah Selatan dengan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius direkodkan di Itali, Sepanyol, Portugal dan Greece.

Pakar sekali lagi mengaitkan peningkatan cuaca panas melampau itu dengan fenomena perubahan iklim dan sudah menjadi perkara biasa terutamanya ketika musim panas di rantau berkenaan.

Di Lisbon, dua pertiga kawasan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga pada Ahad setelah suhu meningkat kepada 42 darjah Celsius.

Di Rom pula, beberapa wilayah seperti Lazio, Tuscany, Calabria, Puglia dan Umbria merancang untuk mengenakan larangan terhadap aktiviti luar ketika cuaca panas terik malah Kesatuan Perdagangan Itali menggesa pemerintah supaya memperluaskan langkah itu ke seluruh negara.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan Itali meletakkan 21 daripada 27 bandar di bawah pengawasan amaran haba tertinggi termasuk destinasi pelancongan popular seperti Rom, Milan dan Naples.

Di Greece, ia sekali lagi berdepan ancaman kebakaran hutan yang lebih meluas disebabkan gelombang haba ekstrem tersebut.

Penduduk terpaksa dipindahkan manakala laluan berhampiran Kuil Purba Poseidon ditutup setelah api yang semakin marak di selatan Athens pada Khamis lalu.

Ketika ini, cuaca ekstrem juga melanda sebahagian besar Eropah hingga mengakibatkan pihak berkuasa di kebanyakan negara mengeluarkan amaran kesihatan terhadap serangan strok haba.

Pakar meramalkan beberapa kawasan di Perancis, Jerman, Itali dan Britain akan terus mencatatkan suhu panas melampau pada minggu ini.

Sementara itu, saintis di World Weather Attribution yang menganalisis pengaruh perubahan iklim terhadap kejadian cuaca ekstrem memaklumkan gelombang haba pada bulan Jun dengan tiga hari berturut-turut mencatatkan suhu melebihi 28 darjah Celsius adalah kira-kira 10 kali lebih berkemungkinan berlaku sekarang berbanding zaman praindustri. – Agensi

Scroll to Top