Gelombang haba: Sekolah di Kota Setar, Pendang laksana PdPR bermula esok

Gelombang haba: Sekolah di Kota Setar, Pendang laksana PdPR bermula esok

ALOR SETAR: Sekolah-sekolah di Daerah Kota Setar dan Pendang akan melaksanakan pengoperasian secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula esok.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan, langkah itu berikutan dua daerah berkenaan mencatatkan gelombang haba Tahap 2 selama tiga hari sejak Khamis lalu.

“Untuk Daerah Baling, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu menunggu data hari ketiga iaitu esok dan jika masih menunjukkan Tahap 2, PdPR akan turut dilaksanakan bermula Isnin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Status Tahap 2 ditetapkan apabila suhu maksimum harian berada antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, JPN memaklumkan, status yang dikemaskini Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menyaksikan enam daerah lagi mencatatkan suhu harian Tahap 1 sejak tiga hari lalu, kecuali Sik yang mencatat Tahap 2 pada Khamis.

“Namun, MetMalaysia memaklumkan suhu harian di Sik kembali berada di Tahap 1 pada semalam dan hari ini yang membolehkan sekolah di sana beroperasi seperti biasa,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top