Gema keadilan buat Zara Qairina di ibu negara malam ini

Gema keadilan buat Zara Qairina di ibu negara malam ini

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suasana sebak menyelubungi hadapan pusat beli-belah Sogo di sini, hari ini apabila lantunan lagu Justice For Zara Qairina disusuli laungan ‘Justice for Zara’ oleh warga kota bergema sebagai solidariti atas kematian tragis pelajar berkenaan.

Sokongan itu diberikan ratusan orang ramai tanpa mengira latar belakang pada Himpunan Solidiriti Demi Adik Zara yang bermula pada 8 malam bagi menuntut keadilan atas kematian remaja berusia 13 tahun itu.

Himpunan anjuran badan bukan kerajaan (NGO) yang turut dihadiri pempengaruh media sosial itu menyaksikan peserta berpakaian hitam sambil membawa plakad, sepanduk dan kain rentang bertulis ‘Justice For Zara’.

Mereka memberi sokongan dalam usaha menuntut keadilan untuk Zara Qairina Mahathir yang dilaporkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di halaman bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu.

Turut dilaungkan Justice for Haris sebagai sokongan kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang ibunya memohon perintah supaya kubur anaknya digali semula bagi dijalankan bedah siasat kedua.

Sepanjang perhimpunan, anggota polis ditempatkan di lokasi bagi memastikan keselamatan terkawal dan setakat ini himpunan itu berjalan lancar secara aman tanpa sebarang kejadian berlaku.

Peserta himpunan mahu dikenali Kamariah, 40-an berkata, kisah tragis Zara Qairina menyentuh naluri keibuannya dan membuatkan dia mahu memberi sokongan kepada keluarga remaja itu supaya kematiannya terbela.

“Sebagai seorang ibu, saya faham perasaan ibu Zara yang pasti menanggung derita yang tidak terungkap. Bayangkan anak yang dilahirkan serta ditatang bagai minyak penuh, akhirnya kehilangan nyawa dalam sekelip mata,” katanya.

Bagi Khairul, 30-an, menghadiri himpunan itu adalah usaha kecilnya dalam memberi sokongan kepada keluarga Zara Qairina.

Katanya, sebelum ini dia hanya menonton himpunan sebegitu melalui video penstriman langsung di media sosial.

Kejadian menimpa pelajar Tingkatan Satu itu menerima simpati pelbagai pihak yang mendesak pihak berkuasa menyiasat kes terbabit secara menyeluruh bagi merungkai kebenaran.

Kematian Zara Qairina mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat di seluruh negara, malah ia turut mendapat perhatian pengguna media sosial dari luar negara yang menzahirkan sokongan berdasarkan perkongsian di media sosial sejak minggu lalu.

Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya di Papar.

Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan supaya mayat pelajar itu digali semula dan bedah siasat dilakukan, sebelum memutuskan supaya inkues dijalankan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top