sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas melalui tempoh sukar yang dibelenggu kecederaan dan pelbagai cabaran tahun ini, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah kembali membuktikan kehebatan mereka apabila menjuarai Terbuka Denmark 2026, semalam.
Bagi Pearly, kejayaan itu lebih bermakna kerana beliau dapat mengharungi segala dugaan bersama gandingannya, Thinaah, sebelum kembali berdiri di podium tertinggi menerusi kemenangan ke atas pasangan Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita pada aksi final.
“Saya sangat gembira dapat melalui semua ini bersama Thinaah dan berdiri di podium tertinggi hari ini (semalam). Ia sangat bermakna buat kami. Seperti yang saya katakan, saya tidak mahu berhenti setakat ini. Kami mahu terus maju dan memperbaiki diri,” katanya kepada BWF selepas tamat perlawanan.
Pearly-Thinaah yang turun selaku pilihan kedua kejohanan menepati ramalan apabila menundukkan Suzuki-Yamakita 21-18, 21-11 dalam tempoh 36 minit, sekali gus mengesahkan gelaran juara selepas mengharungi tentangan sengit pada set pertama.
Kejayaan itu hadir selepas pasangan negara berdepan tempoh yang mencabar sejak beberapa bulan lalu, khususnya apabila kecederaan belakang Pearly mengganggu persiapan dan momentum mereka.
Pearly mengakui sukar untuk menentukan sama ada mereka sudah kembali ke tahap terbaik seperti musim lalu, tetapi percaya prestasi mereka semakin meningkat selepas melalui pelbagai pengalaman, termasuk detik baik dan buruk sepanjang tempoh berkenaan.
Mengulas tekanan sebagai pasangan lebih berpengalaman dan berstatus ranking lebih tinggi, Thinaah berkata mereka memilih untuk menikmati permainan tanpa meletakkan beban berlebihan terhadap diri sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




