Kabul: Bilangan korban susulan gempa bumi berukuran 5.8 magnitud yang melanda sebahagian kawasan Afghanistan pada malam Jumaat meningkat kepada 12 orang, manakala empat lagi cedera, kata timbalan jurucakap kerajaan, Hamdullah Fitrat pada Sabtu, lapor Xinhua.
Gegaran itu menjejaskan komuniti di ibu kota Kabul dan wilayah timur Panjshir, Logar, Nangarhar, Laghman dan Nuristan.
Selain daripada kematian dan kecederaan, ia turut merosakkan 38 rumah kediaman dan menjejaskan 40 keluarga, menurut Fitrat dalam satu kenyataan di platform media sosial X.
Pusat gempa itu, pada kedalaman 186.4 kilometer (km) dan terletak 35km selatan daerah Jurm di wilayah Badakhshan utara, pada awalnya ditentukan pada latitud 36.55 darjah utara dan longitud 70.85 darjah timur.
Gegaran kuat dirasai di Kabul dan wilayah berhampiran.
Afghanistan kerap dilanda gempa bumi, terutamanya di kawasan pergunungan Hindu Kush yang aktif secara geologi.
Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda kawasan sama pada November tahun lalu, meragut lebih 24 nyawa dan mencederakan hampir 1,000 orang di wilayah Samangan dan Balkh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




