Gempa bumi kuat, Rusia isytihar darurat

Gempa bumi kuat, Rusia isytihar darurat
Imej rakaman dron yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Geofizik Akademi Sains Rusia pada 30 Julai 2025 menunjukkan keadaan Severo-Kurilsk di Pulau Paramushir, Kepulauan Kuril Utara yang dilanda tsunami. Foto AFP

Imej rakaman dron yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Geofizik Akademi Sains Rusia pada 30 Julai 2025 menunjukkan keadaan Severo-Kurilsk di Pulau Paramushir, Kepulauan Kuril Utara yang dilanda tsunami. Foto AFP

MOSCOW – Pihak berkuasa di wilayah Sakhalin, Rusia mengisytiharkan darurat di Kepulauan Kuril Utara selepas kawasan itu dilanda gempa bumi kuat dan tsunami yang menyebabkan beberapa bangunan rosak serta berlaku banjir.

“Darurat telah diisytiharkan di Daerah Kuril Utara susulan gempa bumi dan tsunami yang berlaku hari ini,” menurut kenyataan rasmi dikeluarkan kerajaan wilayah Sakhalin pada Rabu.

Langkah itu diambil selepas gelombang tsunami setinggi empat meter melanda beberapa kawasan pantai di Timur Rusia, termasuk pulau-pulau terpencil berdekatan sempadan Pasifik.

Sehingga kini, pihak berkuasa sedang menilai tahap kerosakan infrastruktur dan melaksanakan pemindahan penduduk ke kawasan selamat. Beberapa pasukan kecemasan telah digerakkan ke lokasi terjejas untuk menjalankan operasi menyelamat dan memberi bantuan segera.

Gempa bumi berukuran 8.8 magnitud yang berlaku awal pagi Rabu itu turut mencetuskan amaran tsunami merentasi Lautan Pasifik, termasuk Jepun, Alaska dan Hawaii.

Kawasan utara Kepulauan Kuril terletak berhampiran garis gempa aktif dan sering menjadi tumpuan kejadian seismik besar.

Setakat ini, tiada kematian dilaporkan namun pihak berkuasa memberi amaran bahawa risiko susulan seperti gelombang kedua tsunami dan gempa bumi susulan masih tinggi.-AFP

Scroll to Top