Hazwanfaisal@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: PETRONAS Gas Bhd (PGB) mengesahkan semua infrastruktur dan fasiliti paip gas syarikat kekal selamat serta beroperasi seperti biasa susulan gegaran kecil yang berlaku berhampiran Segamat, Johor, pagi tadi.
Menurut PGB, sebaik menerima makluman mengenai gegaran itu, pasukan teknikal dan serantau syarikat segera melaksanakan prosedur keselamatan standard yang telah disediakan untuk sebarang kejadian seumpamanya di Wilayah Selatan.
“Sebagai sebahagian daripada prosedur ini, pemeriksaan telah dijalankan di Stesen Pemampat Segamat, Stesen Kawalan Segamat serta sepanjang jajaran paip berkenaan.
“Hasil semakan mendapati tiada sebarang ketidaknormalan atau gangguan operasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu katanya, pemantauan secara langsung melalui sistem SCADA turut mengesahkan tahap tekanan dan parameter operasi berada dalam keadaan stabil.
PGB menegaskan pihaknya terus menjalinkan komunikasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Meteorologi Malaysia bagi mendapatkan maklumat terkini.
“Kami akan terus mengutamakan keselamatan orang ramai dan operasi syarikat menerusi pemantauan rapi serta sentiasa bersiap siaga untuk bertindak jika keadaan berubah,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa satu gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 dengan kedalaman 10 kilometer (km) telah berlaku di Segamat, Johor pada jam 6.13 pagi hari ini.
Lokasi kejadian adalah pada koordinat 2.51° Utara, 102.76° Timur, iaitu kira-kira 5km Barat Segamat, Johor.
Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan selatan Pahang.
Kejadian ini turut dikesan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia. Selain itu, gempa bumi susulan bermagnitud 2.8 telah direkodkan pada jam 9.00 pagi di kawasan Yong Peng, Johor, iaitu kira-kira 28 km Barat Laut Kluang, Johor.
© New Straits Times Press (M) Bhd