'Gempa bumi sebagai bencana kategori risiko baharu di Malaysia' – pakar

'Gempa bumi sebagai bencana kategori risiko baharu di Malaysia' – pakar

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Gempa bumi wajar diklasifikasikan sebagai bencana dalam kategori risiko baharu di negara ini, namun bukan sebagai bencana utama seperti banjir.

Ketua Program Geologi, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Rozi Umor berkata, gempa bumi jarang berlaku, namun boleh memberi kesan yang serius.

“Pada pendapat saya, gempa bumi boleh dimasukkan sebagai bencana dalam kategori risiko baharu, bukan bencana utama seperti banjir kerana ia jarang berlaku tetapi apabila berlaku ada kala memberi impak yang tinggi.

“Contohnya seperti gempa bumi di Ranau pada 2015 bermagnitud 6.0 yang menyebabkan runtuhan batuan di Gunung Kinabalu dan mengorbankan 18 orang.

“Ini bermakna gempa bumi boleh berlaku tetapi cuma jarang dan berpotensi untuk mengakibatkan impak yang serius walaupun tidak sekerap banjir,” katanya.

Beliau berkata, meskipun Malaysia bukan berada dalam zon gempa utama dunia, gegaran tetap boleh dirasai akibat aktiviti tektonik aktif di negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Sulawesi.

“Secara saintifik, bukan gempa bumi semakin banyak berlaku di Malaysia, tetapi pendedahan negara kepada gegaran semakin jelas kerana kita dikelilingi zon subduksi aktif dunia.

“Malaysia berada di atas Pentas Sunda yang secara relatifnya stabil, namun blok tektonik ini tetap menerima kesan gelombang seismik daripada kawasan sekeliling,” katanya.

Menurutnya, kemajuan teknologi pengesanan yang semakin sensitif juga menyebabkan lebih banyak kejadian gempa dapat direkodkan, selain kewujudan bangunan tinggi yang membuatkan gegaran lebih mudah dirasai penduduk.

Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia perlu mula memperkukuh langkah kesiapsiagaan termasuk penguatkuasaan pembinaan bangunan tahan gempa, khususnya bagi bangunan tinggi.

“Bangunan awam seperti hospital, sekolah dan empangan perlu menjalani ujian beban seismik dalam reka bentuk bagi memastikan struktur mampu menahan gegaran sederhana hingga kuat.

“Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia kini mewajibkan setiap projek pembangunan mendapatkan kelulusan dengan menyediakan peta kesan gelombang seismik, termasuk mengenal pasti risiko tanah lembut, batu kapur atau zon sesar,” katanya.

Harian Metro melaporkan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang berlaku di perairan Sabah pagi semalam adalah yang terkuat pernah melanda negara ini dalam tempoh 11 tahun.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, berdasarkan rekod jabatan itu, gegaran terkuat direkodkan di Malaysia sebelum ini ialah bermagnitud 6.0 di Ranau, Sabah yang berlaku pada 5 Jun 2015.

Gempa bumi yang berlaku 11 tahun lepas itu mengorbankan 18 nyawa dan kekal sebagai antara kejadian paling diingati dalam lipatan sejarah negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top