Gempa bumi: Sultan Pahang titah masjid, surau laksana solat hajat

Gempa bumi: Sultan Pahang titah masjid, surau laksana solat hajat

am@hmetro.com.my

Kuantan: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid dan surau di seluruh Pahang melaksanakan solat hajat serta doa menolak bala, malam esok.

Titah baginda dizahirkan berikutan beberapa siri bencana gempa bumi yang membabitkan Malaysia baru-baru ini, sekali gus menzahirkan rasa prihatin dan kebersamaan baginda terhadap kesejahteraan rakyat serta keselamatan negeri.

“Baginda bertitah agar umat Islam di negeri Pahang sentiasa memperkukuhkan doa, meningkatkan amal ibadah serta bersatu hati memohon perlindungan Allah SWT daripada sebarang musibah,” menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini.

Menurut hantaran itu, baginda turut meminta rakyat bersama-sama berdoa Allah SWT melindungi negeri ini daripada segala bencana serta mengekalkan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran untuk seluruh rakyat.

Jabatan Mateorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengesahkan gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku pada 8.59 pagi tadi di Segamat, Johor dengan gegaran dilapor dirasai di beberapa kawasan negeri itu serta selatan Pahang.

Pada 24 Ogos lalu, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di daerah sama pada 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1 disusuli gegaran kedua pada 9 pagi di Yong Peng, 28 kilometer barat laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 kilometer.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top