Gempa di Afghanistan: Angka korban menghampiri 1,500

Gempa di Afghanistan: Angka korban menghampiri 1,500

Jalalabad, Afghanistan: Pasukan penyelamat pada Rabu bergelut untuk ke lokasi terjejas, beberapa hari selepas gempa bumi kuat di timur Afghanistan yang mengorbankan lebih 1,400 orang kerana akses ke kawasan terpencil masih terhalang.

Gempa bumi cetek bermagnitud 6.0 melanda kawasan pergunungan yang bersempadan dengan Pakistan pada lewat Ahad, meruntuhkan rumah-rumah bata lumpur dan menimpa keluarga ketika mereka tidur.

Bimbang dengan gegaran susulan berterusan, penduduk berkumpul di kawasan lapang atau bergelut untuk mengeluarkan mereka yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Angka terkini daripada pihak berkuasa Taliban merekodkan sekurang-kurangnya 1,469 orang terbunuh dan lebih 3,700 yang lain cedera, menjadikannya antara gempa bumi paling dahsyat dalam beberapa dekad di negara miskin itu.

Ketua pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Filippo Grandi berkata, gempa itu “menjejaskan lebih 500,000 orang” di timur Afghanistan.

Sebilangan besar mangsa berada di wilayah Kunar dengan puluhan kematian dan ratusan kecederaan turut dilaporkan di wilayah berdekatan seperti Nangarhar dan Laghman.

Akses ke lokasi bencana masih sukar kerana gegaran susulan menyebabkan batuan runtuh, menghalang laluan ke kampung-kampung yang terpencil.

“Semua orang takut dan terdapat banyak gegaran susulan. Kami menghabiskan sepanjang hari dan malam di padang, tanpa tempat perlindungan,” kata seorang penduduk, Awrangzeeb Noori, 35.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu berkata, ia meningkatkan tindak balas kecemasannya dan merayu dana sebanyak AS$4 juta (kira-kira RM18.2 juta) untuk menyampaikan intervensi kesihatan bagi “mencegah kerugian selanjutnya.”

Timbalan jurucakap kerajaan Taliban, Hamdullah Fitrat memberitahu, beberapa kawasan yang sebelum ini sukar diakses akhirnya berjaya ditembusi pasukan penyelamat.

Kira-kira 85 peratus penduduk Afghanistan hidup dengan pendapatan kurang AS$1 kira-kira RM4.20) sehari, dan negara itu sedang berdepan kemiskinan endemik serta kemarau teruk.

Ini gempa bumi besar ketiga sejak pihak berkuasa Taliban mengambil alih kuasa pada 2021 dengan negara itu masih dalam proses pemulihan daripada bencana gempa bumi di wilayah Herat pada Oktober 2023 yang mengorbankan lebih 1,500 orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top