Gempa ranapkan Tapak Warisan Dunia

Gempa ranapkan Tapak Warisan Dunia

ANTAKYA: Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu (UNESCO) sedang meneliti keadaan puluhan tapak warisan sejarah berharga dunia di Turkiye dan Syria yang terjejas teruk akibat gempa bumi dahsyat Ahad lalu.

UNESCO dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang menjalankan tinjauan di kawasan yang terjejas dan mendapati banyak tarikan pelancong dan monumen bersejarah termasuk tapak arkeologi terkenal Nemrut Dag rosak teruk malah ada yang runtuh sepenuhnya.

“Organisasi kami sedang membuat penelitian dan akan berusaha menyediakan bantuan yang diperlukan,” kata Ketua Pengarah UNESCO Audrey Azoulay.

Katanya, sebuah istana di Gaziantep dan sebuah kubu di Aleppo merupakan antara tapak bersejarah paling berharga di rantau itu ranap menyembah bumi dan bandar purba Aleppo di Syria yang menyimpan pelbagai khazanah peperangan turut terjejas teruk. 

Tapak Warisan Dunia yang baru sahaja dibaik pulih berikutan pertempuran sengit dan peperangan berpanjangan di Aleppo sejak tahun 2012 turut menjadi mangsa gempa dahsyat itu.

Menurut beliau, tinggalan sejarah itu seakan sukar dipulihkan selepas menara barat tembok kota lama itu termasuk beberapa binaan di sekelilingnya kini musnah. 

Beberapa bangunan di bandar Diyarbakır yang mempunyai majoriti penduduk Kurdish di tenggara negara itu turut runtuh, menimbulkan kebimbangan terhadap Kubu Diyarbakır dan Landskap Budaya Hevsel Gardens yang menjadi salah satu Tapak Warisan Dunia paling terkenal.

Di Lembangan Sungai Tigris, kubu ini mempunyai kepentingan sejarah yang besar kerana telah memainkan peranan pada zaman pemerintahan Yunani, Rom, Islam dan Uthmaniyyah. 

Tembok bandar sepanjang 5.7 kilometer (km) itu kekal sebagai tarikan pelancong yang popular dan  kedua terpanjang selepas Tembok Besar China.

Seni bina Islam Turkiye turut berdepan perubahan drastik akibat gempa termasuk masjid 

Yeni Camii di Malatya yang runtuh dalam gegaran susulan Isnin lalu, menyebabkan kubah besarnya musnah.

LOKASI BERGANJAK 

Menurut pakar, gempa bumi besar yang melanda Turkiye turut mengalihkan plat tektonik yang didudukinya sehingga tiga meter.

Negara ini terletak pada garis sesar utama yang bersempadan dengan plat Anatolia, Arab dan Eurasia menyebabkan ia terdedah kepada aktiviti seismik.

Ahli meteorologi mendedahkan bahawa sesaran sepanjang 225 km antara plat Anatolia dan Arab telah pecah.

Pakar seismologi Itali, Dr. Carlo Doglioni memberitahu laman berita Italy 24, akibat fenomena itu, Turkiye mungkin tergelincir sehingga lima hingga enam meter berbanding Syria.

Bagaimanapun, kiraan tersebut berdasarkan data awal dan maklumat yang lebih tepat akan tersedia daripada satelit dalam tempoh terdekat.

BANTUAN SATELIT

Kerjasama antarabangsa mengenai pengimejan satelit memainkan peranan penting dalam usaha menyelamat dan pemulihan.

Bagi mengalihkan pandangan satelit ke kawasan yang terjejas, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye meminta pengaktifan Piagam Antarabangsa mengenai Angkasa Lepas dan Bencana Besar  dan PBB berbuat demikian untuk Syria kelmarin.

Sebanyak 11 agensi angkasa lepas telah bersedia untuk mengendalikan satelit optik dan radar yang paling sesuai untuk membantu operasi menyelamat mangsa dan menyediakan saluran bantuan yang lebih cekap.

Satelit radar akan melengkapkan maklumat optik, kerana ia juga beroperasi pada waktu malam dan melalui awan selain boleh menggambarkan tanah runtuh serta perubahan ketinggian yang sangat kecil.-AGENSI