Gempar penemuan mayat wanita di Perigi Tujuh Serendah

Gempar penemuan mayat wanita di Perigi Tujuh Serendah

am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Orang ramai yang mengunjungi kawasan rekreasi Perigi Tujuh, Serendah, di sini, gempar selepas dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, mayat yang berpakaian T-shirt dan seluar jeans itu ditemukan terapung dalam keadaan terlungkup.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 48 tahun.

“Pemeriksaan mendapati tiada kesan kecederaan luaran, pergelutan dan lain lain kecederaan pada tubuh wanita itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat pada jam 2.45 petang bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ahmad Hazwan Ismail di talian 03-60651022 atau 013-2908206 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Kes diklasfikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top