‘Kami memeluknya erat, seolah-olah ini adalah pelukan terakhir. Tiba di pintu utama masjid, sebaik sahaja kaki melangkah keluar dan pelukan dilepaskan, Dia hilang’.
Demikian luahan pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad apabila mendedahkan dia masih merasai kehilangan abangnya, Allahyarham Mohd Attaful Uzair Arshad selepas tiga tahun meninggal dunia akibat serangan jantung pada 19 Ogos 2022.
Menerusi hantaran di Instagram, Uyaina, 33, mengakui dirinya berasa sebak apabila bermimpi arwah abangnya itu sempat mengimamkan solat bersama seluruh ahli keluarga di sebuah masjid yang besar dan indah.
“Semalam aku menangis dalam tidur, menangis hampir teresak, bantal aku basah. Namun mata masih tertutup. Aku tak mahu mimpi ini berakhir, kerana aku terlalu rindu.
“Rindu pada seseorang yang dah tak ada, diungguli rasa sakit yang teramat. Dalam mimpi tu, aku dan seluruh keluarga besarku berada di sebuah masjid, besar dan indah. Dan dia yang menjadi imamnya. Baju Melayu putih yang dipakainya memancarkan nur ketenangan pada wajahnya. Aku rindu,” kongsinya.
Lebih menyentuh hati, Uyaina berkata, rindunya sedikit terubat apabila dapat melihat seluruh ahli keluarganya bersatu dalam mimpi berkenaan.
“Usai solat, dia mengetuai bacaan doa. Lembut alunan suaranya, merdu kedengaran menembus jiwa. Kemudian, seluruh ahli keluargaku memeluknya.
“Kami memeluknya erat, seolah-olah ini adalah pelukan terakhir. Apabila tiba di pintu utama masjid, sebaik sahaja kaki melangkah keluar dan pelukan dilepaskan, Dia hilang. Di sinilah aku menangis,” jelasnya.
Dalam hantaran sama, bekas pengacara Wanita Hari Ini itu turut berkongsi tangkap layar perbualan dengan ibunya mengenai mimpi yang dialami.