Genap setahun usia perkahwinan, penyampai radio Fizi Ali berkongsi bahawa isterinya, Siti Zulaikha adalah insan yang berjaya membawa kembali senyumannya yang pernah hilang dahulu.
Katanya, dia dan isteri sebelum ini pernah berjanji dan berdoa agar jodoh mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Alhamdulillah setahun usia perkahwinan kita dan saya sentiasa doakan jodoh kita sampai akhir usia.
“Ingat lagi awal-awal dulu awak janji awak akan dapatkan balik senyuman lama saya dan betul senyuman itu dah kembali,” katanya.

Dalam hantaran sama, Fizi atau nama penuhnya Mohd Hafizudin Alimudin, 35, memberitahu, dia mahu memperbaharui ‘perjanjian’ cinta pada setiap tahun untuk menguatkan lagi ikatan perkahwinan mereka.
“Pejam celik pejam celik sampai dah masa kita untuk perbaharui balik janji-janji kita.
“Setahun sekali kena ada momen kita berjanji kembali untuk kuatkan balik rasa sayang dan cinta itu.
“Terima kasih sayang, semoga hubungan kita diberkati Allah. Selamat ulang tahun perkahwinan sayang. Saya sayang awak,” jelasnya.
Perkara itu dikongsi Fizi menerusi hantaran terkini yang di muat naik di Instagram miliknya pada Rabu.
Malah, menerusi video pendek tersebut, Fizi dan isteri kelihatan berad di dalam kereta dan berhincang sebelum Zulaikha dilihat menangis dan menerima sejambak bunga.
Sekadar info, Fizi mendirikan rumah tangga dengan Zulaikha pada 23 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada Julai lalu.
Sebelum ini, Fizi pernah berkahwin dengan pelakon Shakilla Khoriri pada 18 Januari 2018 namun bercerai pada Disember 2021.
Hasil perkongsian hidup, pasangan selebriti itu dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ameena Sofea yang kini berusia 5 tahun.
Dan, Zulaikha juga memiliki seorang anak perempuan hasil perkahwinan yang dulu.




