
Pakar menjangka gencatan senjata AS-Iran akan bertahan dua minggu, dengan rundingan lanjut dijangka berlangsung di Islamabad – Gambar hiasan
MOSCOW – Perjanjian gencatan senjata yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dijangka bertahan selama dua minggu seperti yang diumumkan, kata Roderick Kiewiet, profesor Sains Politik di Institut Teknologi California kepada RIA Novosti.
Pada Selasa malam, Presiden AS Donald Trump berkata beliau bersetuju dengan gencatan senjata dua minggu secara dua hala dengan Iran, sambil memberi jaminan yang Iran turut bersetuju membuka Selat Hormuz. Majlis Keselamatan Nasional Agung Iran kemudian menyatakan yang Tehran akan memulakan rundingan dengan AS pada Jumaat di ibu negara Pakistan, Islamabad.
“Ya, saya fikir ia akan bertahan untuk tempoh dua minggu yang dimaksudkan. Selepas itu, siapa yang tahu, tetapi saya rasa ia akan berterusan,” kata Kiewiet.
Sementara itu, Gareth Jenkins, penyelidik kanan di Program Kajian Bersama Laluan Sutera dan Pusat Turkiye di Institut Dasar Keselamatan dan Pembangunan di Stockholm menyatakan harapan agar perjanjian dapat dicapai antara Washington dan Tehran semasa rundingan di Islamabad.
“Saya benar-benar berharap perjanjian dapat dicapai dan pembunuhan dihentikan. Terlalu ramai yang terbunuh. Sentiasa ada harapan,” kata Jenkins kepada RIA Novosti.
Bagaimanapun, pakar itu berkata pihak bertelagah masih kelihatan “terlalu jauh berbeza pendapat.”
Pada 28 Februari, AS dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, termasuk di Tehran, menyebabkan kerosakan dan kematian orang awam. Iran membalas dengan menyerang wilayah Israel dan kemudahan tentera AS di Asia Barat. Serangan ke atas Iran berlaku walaupun rundingan antara Washington dan Tehran mengenai isu nuklear Iran di Geneva dimana Oman bertindak sebagai perantara. – Bernama



