Gencatan senjata: HAMAS serah tiga tahanan wanita kepada Israel

Gencatan senjata: HAMAS serah tiga tahanan wanita kepada Israel

Penduduk Palestin mengebarkan bendera bendera Hamas di atas bas milik Palang Merah membawa tahanan yang dibebaskan (Foto AFP)

– Advertisement –

GAZA: HAMAS menunaikan janji apabila menyerahkan tiga tawanan wanita pertama kepada Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata Gaza.

– Advertisement –

Romi Gonen, 24; Emily Damari, 28; dan Doron Steinbrecher, 31, diserahkan kepada Palang Merah dan dalam tangan yang selamat di Israel.

Kenderaan Palang Merah berlepas dari Bandar Gaza di bahagian utara wilayah selepas HAMAS membawa tawanan tersebut ke Dataran as-Saraya ketika orang ramai berkumpul.

Delegasi Palang Merah sedang mengesahkan identiti 90 tahanan Palestin sebelum pembebasan mereka dari Penjara Ofer Israel, sebagai pertukaran daripada perjanjian gencatan senjata yang dimuktamadkan semalam.

Tiga tebusan wanita Israel berkenaan tiba di sebuah hospital di tengah Israel selepas bertemu semula dengan ibu mereka.

Emily Damari, Romi Gonen dan Doron Steinbrecher dibawa pulang ke Israel oleh pasukan keselamatan selepas pejuang HAMAS menyerahkan mereka kepada Palang Merah di sebuah kawasan sesak dengan orang ramai.

Dalam pada itu, seramai 33 tebusan Israel, 31 daripadanya ditahan oleh HAMAS pada 7 Oktober 2023, dijadualkan kembali dari Gaza sebagai pertukaran untuk kira-kira 1,900 tahanan Palestin.

Daripada jumlah itu, lebih 230 tahanan Palestin yang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas serangan maut terhadap rakyat Israel dijangka dihantar ke luar negara.

Kebanyakan mereka bakal dihantar terutama ke Qatar dan Turkiye, menurut senarai yang diumumkan oleh pihak berkuasa Israel.

Pertukaran tahanan-tebusan berikutnya dijangka berlangsung pada Sabtu depan, kata seorang pegawai kanan HAMAS kepada AFP.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata pihaknya menyambut baik gencatan senjata itu, yang penting bagi menghapuskan halangan besar keselamatan dan politik bagi penghantaran bantuan.

Gencatan senjata berkenaan bertujuan membuka jalan untuk penamatan perang secara kekal, namun fasa kedua masih belum dimuktamadkan.

Gencatan senjata itu juga difahamkan mula berkuat kuasa hampir tiga jam lebih lewat daripada jadual awal dan ketika kelewatan itu, tentera Israel mendakwa mereka tetap meneruskan operasi.

Agensi pertahanan awam wilayah berkenaan turut melaporkan 19 orang terbunuh dan 25 cedera dalam pengeboman pada saat terakhir sebelum gencatan senjata berkuatkuasa. – AFP / HARAKAHDAILY 20/1/2025

Scroll to Top