georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, penerbit dan pengarah Datuk Afdlin Shauki, 54, menyifatkan gencatan senjata yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hanya satu helah politik.
Pengasas Yayasan Afdlin Shauki (Malaysia) itu percaya ia adalah cara untuk menyelamatkan reputasi Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang kini berdepan dakwaan jenayah perang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
“Kini, dunia bersorak apabila Donald Trump mengumumkan gencatan senjata kekal, kononnya keamanan sudah kembali, namun bagi saya, gencatan senjata ini hanyalah satu helah politik.
“Trump tidak menghentikan peperangan. Dia menghentikan tuntutan keadilan. Dia tidak menenangkan dunia. Dia menenangkan rasa bersalah dunia. Inilah cara penjenayah dibersihkan imejnya.
“Bukan melalui penyesalan, tetapi melalui perjanjian palsu dinamakan perdamaian, yang paling menyedihkan adalah cara dunia menyambut gencatan ini,” katanya menerusi sebuah kenyataan, hari ini.
Katanya, bagi banyak negara, ini bermakna mereka boleh kembali berdagang, berunding, dan menandatangani kontrak tanpa rasa bersalah.
“Namun kita semua tahu kebenarannya. Setiap kali Gaza musnah, dunia bergegas menghantar bantuan untuk membina semula. Dan setiap kali Gaza mula pulih, Israel datang menghancurkannya lagi.
“Kitaran ini bukan perang. Ia adalah genosid bersambung, dan gencatan senjata hanyalah selingan antara dua serangan. Jika dunia benar-benar mahu keamanan, langkah pertama bukanlah menandatangani perjanjian politik, tetapi mengakui kebenaran.
“Berhenti memanggil penindasan ini konflik, berhenti menyamakan penjajah dengan yang dijajah, berhenti meraikan pembunuh sebagai diplomat keamanan.
“Selagi Israel tidak dihukum atas jenayah perangnya, tiada keamanan yang akan kekal. Selagi dunia terus berdiam diri, bom akan kembali jatuh dan darah akan terus mengalir di Gaza,” katanya.
Afdlin menjelaskan beliau tidak menentang perdamaian, namun cuma menentang kedamaian palsu yang lahir daripada kezaliman.
“Sebagai rakyat Malaysia, sebagai seorang Muslim, dan sebagai manusia, saya bersyukur sekiranya anak-anak Palestin boleh tidur malam tanpa bunyi bom, tetapi saya menolak untuk memanggil ini ‘damai’,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




