Generasi baharu UMNO bergelut, bukan hidup mewah – Puteri UMNO

Generasi baharu UMNO bergelut, bukan hidup mewah – Puteri UMNO

KUALA LUMPUR – Masyarakat diminta tidak memukul rata seluruh ahli UMNO dengan persepsi bahawa mereka hidup mewah atau mengaut kekayaan menerusi politik, sebaliknya memahami realiti generasi baharu parti itu yang turut berdepan tekanan kos sara hidup.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang, Ameera Nadia Mohd Shafiee berkata, sebahagian besar ahli muda UMNO hari ini terdiri daripada rakyat biasa, pelbagai latar belakang kehidupan dan pekerjaan.

Menurutnya, beliau memahami sentimen kemarahan serta kekecewaan segelintir rakyat terhadap UMNO, termasuk perbincangan di media sosial yang sering mengaitkan parti itu dengan dakwaan salah guna kuasa, kemewahan dan kekayaan hasil wang rakyat.

Namun katanya, persepsi terhadap segelintir individu tidak seharusnya dijadikan gambaran terhadap keseluruhan ahli parti, khususnya generasi baharu yang masih bergelut dengan cabaran kehidupan.

“Saya faham kenapa ada rakyat yang marah dan kecewa dengan UMNO. Di Threads, kita boleh lihat sendiri bagaimana ada yang melihat UMNO sebagai parti yang sinonim dengan isu ‘sakau duit rakyat’, hidup mewah atas duit rakyat dan sebagainya.

“Tetapi saya cuma mahu rakyat tahu satu perkara, tidak semua yang berada dalam UMNO hidup senang. Kami generasi baharu dalam parti ini pun rakyat biasa. Kami juga bergelut dengan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ameera Nadia berkata, ahli muda UMNO kini terdiri daripada pekerja makan gaji, peniaga serta individu yang melakukan pekerjaan sambilan bagi menampung keperluan kehidupan seharian.

Generasi baharu UMNO bergelut, bukan hidup mewah – Puteri UMNO

Ameera Nadia Mohd Shafiee

Jelasnya, penglibatan mereka dalam politik bukan semata-mata untuk mengejar kekayaan, sebaliknya didorong keyakinan terhadap perjuangan parti dan usaha membantu menyelesaikan masalah rakyat.

“Kami percaya politik bukan semata-mata tentang siapa yang paling kuat bercakap, tetapi tentang siapa yang sanggup turun bekerja, menyelesaikan masalah dan membantu memudahkan kehidupan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui UMNO mempunyai kelemahan dan kesilapan lalu yang perlu diperbaiki, namun meminta kekhilafan segelintir individu tidak dijadikan alasan untuk menghukum keseluruhan ahli parti.

Katanya, masih ramai anak muda UMNO daripada keluarga sederhana yang menjalani kehidupan seperti masyarakat awam lain, tetapi memilih untuk terus aktif kerana melihat politik sebagai wadah membawa perubahan positif.

“Kami bukan kaya kerana UMNO. Kami juga sedang berjuang untuk hidup seperti rakyat yang lain. Dalam segala kekurangan itu, kami masih memilih untuk berkhidmat,” katanya.

 

 

Scroll to Top