SINGAPURA – Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dilihat bukan sahaja memperkukuh barisan kepimpinan generasi keempat (4G), malah membuka laluan kepada kemunculan pemimpin generasi kelima (5G), kata penganalisis politik.
Perubahan yang diumumkan pada Selasa itu menyaksikan empat Ahli Parlimen baharu yang dipilih pada Pilihan Raya Umum 2025 dinaikkan pangkat, manakala dua lagi Ahli Parlimen penggal pertama dilantik memegang jawatan politik.
Penganalisis berpandangan langkah tersebut memberi ruang lebih panjang kepada pemimpin muda untuk mengasah pengalaman pentadbiran, selain memperluaskan kumpulan pelapis kepimpinan negara.
Pada masa sama, menteri-menteri kanan masih dikekalkan menerajui portfolio utama bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dalam keadaan persekitaran global yang semakin mencabar.
Profesor Undang-Undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Eugene Tan berkata, rombakan itu memberi penekanan kepada usaha memperkukuh kepimpinan sedia ada, di samping mempercepat proses pembaharuan kepimpinan.
Antara perubahan utama ialah pelantikan Foo Cexiang dan Shawn Loh sebagai Menteri Negara, manakala Jasmin Lau dinaikkan sebagai Pemangku Menteri Tenaga Manusia selain terus memegang jawatan Menteri Negara Kanan di Kementerian Pembangunan Digital dan Maklumat.
Sementara itu, Goh Pei Ming dinaikkan sebagai Menteri Negara Kanan, manakala Jeffrey Siow dan David Neo disahkan sebagai menteri penuh selepas lebih setahun berkhidmat sebagai pemangku menteri.- Agensi



