Generasi muda seronok sertai ibadah korban

Generasi muda seronok sertai ibadah korban

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Semangat pengorbanan tinggi dipamerkan apabila seramai 150 anak muda berganding bahu menjayakan program Ibadah Korban dan Akikah di Masjid Kampung Kangkar Tebrau, di sini, hari ini.

Pada program itu, sebanyak 15 ekor lembu dan lima ekor kambing dikorbankan hasil sumbangan individu dan syarikat korporat dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Penyelaras program, Muhammad Amirul Akmal Mohd Shukor berkata, penyertaan aktif golongan belia kampung ini dalam program ibadah berkenaan sudah bermula sejak 2013.

Menurutnya, pembabitan generasi muda amat penting terutama bagi memupuk syiar Islam sekali gus membuktikan masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi menjadi pusat dakwah.

“Keseluruhan proses program ibadah korban ini dijalankan oleh generasi muda di kampung ini. Bermula dari mesyuarat, pemilihan tapak sembelihan, pembelian haiwan korban sehingga pengagihan daging dari rumah ke rumah dilakukan sepenuhnya oleh anak muda.

“Kita mahu mereka bukan hanya menyertai, tetapi memahami konsep pengorbanan serta objektif program.

“Sebuah masjid yang baik adalah masjid yang mendampingi generasi muda supaya mereka berilmu dan beramal,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Kangkar Tebrau, di sini, hari ini.

Imam Masjid Kampung Kangkar Tebrau, Abdul Hamid Hasan berkata, pembabitan anak muda dalam ibadah korban disifatkan sebagai satu nikmat besar yang wajar disyukuri.

“Inilah di antara syiar Islam yang diajarkan kepada kita untuk lakukan ibadah korban, anak muda mula didedahkan dengan ibadah ini sejak di bangku sekolah lagi.

“Memang kadang kala kita tidak mampu hendak mengajak anak muda penuhkan masjid, tetapi dapat bantu dari melakukan ibadah korban ini pun satu nikmat yang besar,” katanya.

Sementara itu, graduan Muhammad Fairus Ibrahim, 22, berkata dia yang pertama kali menyertai ibadah korban menyifatkan pengalaman melapah amat bermakna dan menjadi titik mula untuk aktif bersama jemaah masjid.

“Ini kali pertama saya sertai program korban. Selama ini tak pernah berpeluang. Rasa gembira sangat sebab dapat pengalaman baru dan dapat eratkan hubungan dengan penduduk kampung terutama generasi lebih berusia,” katanya

Pandangan sama dikongsi juruteknik, Mohamad Raziq Abd Razak, 24, apabila berkongsi rasa syukur diberi peluang menyumbang tenaga.

“Saya amat berbesar hati dapat turun padang, tolong sama-sama dalam program masjid.

“Ini satu peluang untuk dekatkan diri dengan syiar Islam, dan dalam masa sama dapat belajar lebih mendalam lagi mengenai ibadah korban ini. Alhamdulillah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top