Generasi Z & STEM: Cabaran Pendidikan Era Digital

TANJONG MALIM – Pendidikan di Malaysia memberikan satu inspirasi yang positif bagi pembelajaran digital.  Dalam dunia serba pantas dan digital ini, generasi baharu iaitu Generasi Z yang dilahirkan pada tahun 1997 sehingga 2012 tampil sebagai pengguna teknologi paling aktif.  Namun, walaupun celik teknologi, penglibatan mereka dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) masih berada pada tahap yang membimbangkan. Fenomena ini menimbulkan persoalan besar: Mengapa generasi yang sangat terdedah kepada teknologi kurang berminat dalam bidang yang menjadi teras pembangunan teknologi itu sendiri?Dalam dunia serba pantas dan digital ini, generasi baharu iaitu Generasi Z yang dilahirkan pada tahun 1997 sehingga 2012 tampil sebagai pengguna teknologi paling aktif.  Namun, walaupun celik teknologi, penglibatan mereka dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) masih berada pada tahap yang membimbangkan. Fenomena ini menimbulkan persoalan besar: Mengapa generasi yang sangat terdedah kepada teknologi kurang berminat dalam bidang yang menjadi teras pembangunan teknologi itu sendiri?

 

Gaya Pembelajaran Generasi Z: Pantas dan Visual

Generasi Z memiliki gaya pembelajaran yang unik dan berbeza daripada generasi sebelumnya. Mereka lebih cenderung kepada pembelajaran visual, interaktif, serta berorientasikan kendiri. Kajian oleh Seemiller dan Grace (2016) menyatakan bahawa generasi ini mempunyai jangka perhatian yang pendek, dan mudah hilang fokus apabila kandungan pembelajaran terlalu panjang atau tidak berkait dengan minat mereka. Tambahan pula, ketagihan terhadap media sosial menyumbang kepada gangguan tumpuan dan kebergantungan kepada maklumat segera, yang secara tidak langsung melemahkan kemahiran saintifik dan penyelesaian masalah. Oleh itu, pendekatan tradisional berasaskan hafalan dan ceramah kini semakin tidak relevan, khususnya dalam menarik minat pelajar Generasi Z.

 

Mengapa STEM Masih Tidak Menarik?

Pendidikan STEM memerlukan pendekatan yang bersepadu, kritikal dan berbentuk penyelesaian masalah. Namun, banyak sekolah masih terikat dengan kaedah pengajaran konvensional yang tidak selari dengan kehendak dan keperluan pelajar hari ini. Hal ini demikian kerana pembelajaran kaedah konvensional hanya melibatkan tiga aktviiti iaitu penyampaian pengajaran oleh guru, sesi soal jawab dan pelajar perlu membuat kerja yang diberikan dengan senyap (Kong, 2020). Tambahan pula, ramai guru belum bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan pendekatan integratif ini kerana kekurangan latihan profesional yang berterusan (BPPDP, 2022). Keadaan ini menyebabkan pelajar melihat STEM sebagai sesuatu yang membosankan dan terlalu teoritikal. Kajian oleh Adnan et al. (2021) juga menunjukkan ramai pelajar berasa kurang yakin dengan keupayaan mereka dalam bidang ini kerana kurangnya pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.

 

Jurang Digital Semakin Ketara

Salah satu cabaran terbesar pendidikan STEM di Malaysia ialah jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar, khususnya dalam komuniti Orang Asli. Kajian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2021) mendedahkan bahawa lebih 37% sekolah di kawasan luar bandar menghadapi masalah capaian internet serta kekurangan peranti digital. Ini menyebabkan pelajar di luar bandar ketinggalan dari segi akses kepada bahan pembelajaran interaktif seperti realiti maya (VR) dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin diterapkan dalam bilik darjah moden. Kajian oleh Suthan dan Nasir (2025) menyatakan bahawa ketidaksamarataan akses ini menjadi penghalang utama dalam usaha mencapai pendidikan berkualiti dan inklusif lebih – lebih lagi kepada orang asli di Semenanjung Malaysia. Akibatnya, pendekatan STEM berbentuk teknologi tinggi hanya dapat dilaksanakan di sekolah bandar, sementara sekolah luar bandar menjadi keterbatasan untuk diakses terutama sekolah Orang Asli.

 

Kekurangan Role Model dan Inspirasi

Faktor lain yang menyumbang kepada rendahnya minat pelajar terhadap STEM ialah ketiadaan tokoh inspirasi atau role model terutamanya dalam kalangan wanita dan etnik minoriti. Ketiadaan idola yang dekat dengan mereka, terutamanya dari latar belakang yang serupa, menghalang pembentukan keyakinan diri dan aspirasi pelajar. Hal ini harus ditangani dengan memperkenalkan lebih ramai tokoh STEM dari pelbagai latar belakang dalam aktiviti kokurikulum, program mentor-mentee, dan media pendidikan di Malaysia.

 

Cadangan Pembaharuan Strategik dan Holistik

  1. Pembelajaran berasaskan projek, inkuiri, dan gamifikasi perlu diperluas agar pelajar dapat memahami kaitan antara ilmu STEM dengan kehidupan seharian. Ini akan meningkatkan minat dan penglibatan pelajar secara aktif.
  2. Guru perlu dilatih secara intensif agar dapat mengadaptasi pedagogi yang sesuai dengan gaya pembelajaran Generasi Z. Usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menghantar guru mengikuti kursus jangka pendek di luar negara merupakan langkah positif ke arah ini.
  3. Pelajar perlu diperkenalkan kepada tokoh-tokoh inspirasi tempatan dalam bidang STEM yang berjaya, terutamanya daripada golongan wanita, Orang Asli, dan minoriti lain. Ini akan membuka perspektif baharu kepada pelajar tentang potensi diri mereka.

Walaupun Generasi Z membesar dalam dunia digital, minat terhadap STEM masih memerlukan pemantapan melalui reformasi pendidikan yang relevan, inklusif dan dinamik. Pendidikan STEM yang kontekstual, berasaskan kemahiran abad ke 21, dan dibina atas asas keadilan digital akan menjadikan bidang ini bukan sahaja menarik tetapi juga mampu mencorakkan masa depan negara. Kini, pilihan terletak di tangan kita, sama ada ingin terus kekal dengan pendekatan lama atau berani mencipta perubahan demi generasi akan datang.

PENULIS:

MUHAMMAD FAKRUL NIDHAM BIN ABD SAMAT
PELAJAR SARJANA PENDIDIKAN (BIOLOGI), FAKULTI SAINS MATEMATIK, UPSI

DR. MOHD MOKHZANI BIN IBRAHIM
PENSYARAH FAKULTI SAINS MATEMATIK, UPSI

Scroll to Top