mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis menumpaskan Geng Ajoi yang aktif mencuri motosikal di sekitar Lembah Klang sejak Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 38 dan 28 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kuala Lumpur pada 26 Oktober lalu.
“Hasil tangkapan itu, polis berjaya merampas tiga motosikal yang dilaporkan hilang di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan IPD Wangsa Maju.
“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek turut terbabit dalam empat lagi kes curi motosikal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya dalam sidang media di IPD Sentul, hari ini.
Ahmad Sukarno berkata, kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.
“Ujian air kencing yang dijalankan turut mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Dengan penahanan dua lelaki terbabit, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes kecurian motosikal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM50,000.
“Geng Ajoi dipercayai mula aktif sejak Julai lalu dengan menyasarkan kawasan apartmen dan parkir motosikal di tepi jalan,” katanya.
Beliau berkata, antara motosikal yang menjadi sasaran seperti Yamaha Y15, Yamaha LC, Yamaha 125 dan Yamaha RXZ.
“Rangka motosikal turut ditemui di dalam dan belakang rumah suspek di mana mereka menjual sama ada secara dalam talian atau bersemuka. Suspek hanya mengambil masa dua ketiga minit untuk mencuri motosikal terbabit,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan kenderaan diparkir di lokasi selamat, selain memasang kunci tambahan bagi mengelak menjadi mangsa.
“Polis tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2222,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




