Geng aktif pecah cermin kereta di Kota Bharu, Pasir Mas tumpas

Geng aktif pecah cermin kereta di Kota Bharu, Pasir Mas tumpas

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Polis menumpaskan kumpulan jenayah dikenali sebagai ‘Geng Saga’ yang dipercayai terbabit dalam 10 kes pecah cermin dan curi dalam kenderaan di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas, membabitkan kerugian keseluruhan dianggarkan RM23,000.

Ia susulan penahanan tiga lelaki di hadapan stesen minyak di Jalan Long Yunus, di sini, jam 2 pagi, pada 30 Mei lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, lelaki berusia antara 49 hingga 56 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Katanya, serbuan dilakukan susulan kejadian pecah cermin kereta dan curi di Tunjong yang membabitkan kerugian RM250 jam 12.45 tengah malam pada 30 Mei lalu.

“Dalam serbuan itu, polis merampas dua kereta Proton Saga beserta anak kunci, sebuah komputer riba, empat telefon bimbit, dua beg galas, 10 keping kad bank, dua pasport antarabangsa, satu Mykid, satu lastik getah, dua serpihan palam pencucuh dan satu playar.

“Semakan menunjukkan tiga lelaki itu mempunyai 12 rekod kesalahan jenayah dan 32 rekod jenayah dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi.

“Ketiga-tiga lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bermula 8 Jun hingga semalam.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top