Geng Along Jep tumpas

Geng Along Jep tumpas

am@hmetro.com.my

Klang: Empat penjenayah yang disyaki terbabit dalam kegiatan curi kenderaan jenama tempatan untuk kegunaan harian diberkas secara berasingan di sekitar daerah Klang Selatan di sini, bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan berkata, kumpulan penjenayah ini dikenali sebagai Geng Along Jep ditangkap pada 10 hingga 30 April lalu.

Menurutnya, kesemua suspek adalah lelaki warga tempatan secara berasingan, berusia 25 hingga 40 tahun ditangkap di beberapa lokasi di daerah itu.

“Kereta disasarkan suspek ini bukan kereta mewah sebaliknya kereta lama jenama tempatan seperti Perodua, Proton dan sebagainya.

“Suspek mencuri kenderaan ini untuk kegunaan harian, bukan untuk dijual. Lepas guna kenderaan itu ditinggalkan dan curi kenderaan lain

“Modus operandi suspek adalah mengambil peluang atas kelalaian dan kecuaian orang awam yang meninggalkan kenderaan dengan kunci serta enjin tidak dimatikan dan biasanya pemilik masuk ke kedai beli barang atau di tepi jalan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, hari ini.

Beliau berkata, daripada operasi tangkapan itu, polis merampas enam kereta termasuk satu rangka kereta serta enam pelbagai jenis motosikal serta satu rangka motosikal.

Katanya, siasatan mendapati kumpulan itu bergerak aktif pada penghujung tahun lalu sehingga tarikh tangkap

“Dengan tangkapan empat suspek ini, polis berjaya menyelesaikan lapan kes curi motosikal dan sembilan kes curi kereta.”

“Semua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah termasuk salah seorang mempunyai 30 rekod jenayah dan dadah,” katanya dan memaklumkan keempat-empat suspek itu positif dadah jenis methamphetamine ketika ditahan.

Katanya, kes ini diserahkan kepada IPD Klang Utara dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top