‘Geng Messi’ sukarkan hidup Wijnaldum di PSG – Utusan Digital

‘Geng Messi’ sukarkan hidup Wijnaldum di PSG – Utusan Digital

PARIS: Hidup Georginio Wijnaldum tidak mudah sejak me­ninggalkan Liverpool musim panas lalu untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG).

Pemain tengah Belanda itu meninggalkan Anfield secara percuma selepas kontraknya ber­akhir hujung musim lalu.

Wijnaldum, 30, antara beberapa bintang baharu yang dibawa PSG, termasuk ‘superstar’ Argentina, Lionel Messi.

Sergio Ramos, Achraf Hakimi, Nuno Mendes dan Gianluigi Donnarumma nama besar lain yang menyertai gergasi bola sepak Perancis itu.

Biarpun memiliki deretan bintang, namun akhbar Perancis mendakwa, keadaan di bilik persalinan tidak begitu bagus dan pengendali pasukan, Mauricio Pochettino berdepan kesukaran membentuk pasukan.

NEYMAR (kanan) dan Messi bersahabat sejak di Barcelona.

Akhbar L’Equipe melaporkan, Wijnaldum sukar menyesuaikan diri kerana PSG dikuasai ‘kelompok pemain Amerika Selatan’, termasuk Messi.

Kumpulan tersebut sering mempengaruhi jurulatih agar menurunkan Leandro Paredes, pemain antarabangsa Argentina berbanding Wijnaldum.

Pemain-pemain dari Amerika Selatan juga dikatakan kurang menyokong Wijnaldum semasa latihan.

Secara keseluruhan, ada tujuh bintang Amerika Selatan dalam skuad Pochettino, yang juga berasal dari Argentina.

PSG turut memiliki dua lagi pemain Argentina, Angel di Maria dan Mauro Icardi, selain tiga bintang Brazil – Neymar, Rafinha serta Marquinhos. – AGENSI

Scroll to Top