‘Geng muncung’ tumpas, 10 kes curi motor tiga daerah selesai

‘Geng muncung’ tumpas, 10 kes curi motor tiga daerah selesai

PARIT: Baru tiga bulan selesai menjalani hukuman penjara, seorang lelaki sekali lagi dicekup polis apabila dipercayai kembali aktif sebagai ketua sindiket curi motosikal dikenali sebagai ‘Geng Muncung’.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, suspek utama berusia 27 tahun itu dipercayai mengetuai kumpulan berkenaan sejak Januari lalu.

Katanya, suspek yang mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan narkotik itu ditahan bersama 10 rakan lain dalam beberapa siri tangkapan antara 29 Mac hingga 2 April lalu.

“Tangkapan terhadap kesemua suspek itu dibuat susulan laporan polis yang diterima berkaitan kehilangan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR di hadapan kedai makan di Lestari IUS, Seri Iskandar pada 22 Mac lalu.

“Sehubungan itu, beberapa tangkapan telah dijalankan yang membawa kepada penahanan 11 lelaki berusia antara 21 hingga 46 tahun di sekitar kawasan Perak Tengah, Manjung dan Ipoh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, pihak polis berjaya merampas lima buah motosikal yang telah dileraikan, selain komponen enjin dan alat ganti motosikal.

“Selain itu, polis turut menemui paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 0.56 gram ketika menahan salah seorang suspek.

“Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, modus operandi kumpulan berkenaan ialah meleraikan motosikal curi untuk diambil komponen dan alat ganti sebelum membuang rangka kenderaan tersebut ke dalam sungai bagi melupuskan bukti.

Katanya, seorang daripada suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut berperanan sebagai pemberi maklumat kepada kumpulan berkenaan mengenai motosikal yang menjadi sasaran mudah untuk dicuri.

“Kumpulan ini bergerak aktif sejak Januari lalu dan menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125ZR dan Yamaha Y15ZR.

“Dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, kita telah berjaya menyelesaikan 10 kes kecurian motosikal yang dilaporkan hilang di tiga daerah iaitu Perak Tengah, Manjung dan Ipoh,” katanya.

Tambah beliau, pihak polis sedang mengesan dua lagi ahli kumpulan berkenaan yang masih bebas dikenali Sapik, 22, dan Akim, 29, bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung keberadaan kedua-dua suspek diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Sarjan Farah Ellyana Liki Maliki di talian 013-8927218,” katanya. – UTUSAN

 

Scroll to Top