am@hmetro.com.my
Melaka: Empat termasuk seorang wanita yang mendalangi kegiatan mencuri susu formula di pasar mini 24 jam di negeri ini dicekup di sebuah kondominium di Kuala Lumpur, pada Sabtu minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 20 hingga 50 tahun dikenali ‘Geng Susu Borneo’ itu ditangkap anggota Cawangan D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, dalam serbuan jam 12.30 tengah malam.
Beliau berkata, tangkapan dibuat susulan laporan pemilik pasar mini di Taman Paya Emas dan di Bandar Baru Sungai Udang pada 2 Ogos lalu mengenai kehilangan susu formula berjenama terkenal di premis mereka.
“Hasil risikan dan siasatan, kita memberkas tiga lelaki dan seorang wanita serta merampas 99 produk susu formula pelbagai jenama dalam bentuk paket, tin dan kotak serta 22 paket produk minuman kopi keseluruhannya bernilai RM12,600 yang disimpan di dalam kereta dan kondominium.
“Turut dirampas sebuah kereta Mazda CX-5, empat telefon bimbit, pakaian dalam yang diubah suai, topi, kasut, pita pelekat, plastik sampah dan beg kain yang dipercayai digunakan dalam kes ini.
“Mereka digelar Geng Susu Borneo memandangkan masing-masing dua dari Sabah dan dua lagi berasal dari Filipina termasuk suspek wanita berusia 50,” katanya pada sidang media di IPD Melaka Tengah hari ini.
Christopher berkata, siasatan mendapati sindiket itu menetap di Kuala Lumpur sejak seminggu lalu sebelum melakukan kegiatan mencuri terancang rentas negeri serta disyaki aktif sejak 2011.
“Dalam tempoh seminggu sindiket mencuri di 12 premis sekitar Melaka, Negeri Sembilan serta Pahang dan susu formula yang dicuri dibawa ke Kuala Lumpur untuk dijual semula.
“Modus operandi mereka adalah menyamar sebagai pelanggan dan memasuki premis disasarkan sebelum suspek wanita mengambil dan menyimpan susu formula di dalam baju dan seluarnya yang diubah suai di bahagian pinggang dan celah kelangkang.
“Dua suspek lelaki pula menjaga bahagian kiri dan kanan lorong dalam premis manakala seorang suspek lagi menjaga di luar premis,” katanya sambil memaklumkan tiga daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk curi dalam bangunan, dadah dan mencederakan orang.
Katanya, semua suspek direman lima hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd