Geng 'toyol' curi motosikal kecundang

Geng 'toyol' curi motosikal kecundang

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Lima lelaki yang disyaki aktif melakukan jenayah curi motosikal ditahan polis di sekitar bandar ini antara 26 November sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan menerusi op lejang dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Balai Polis Kota Bharu dan Balai Polis Binjai.

Katanya, tangkapan itu dibuat susulan laporan diterima daripada tiga lelaki berkaitan motosikal mereka dicuri masing-masing pada 6 Ogos, 5 September dan 23 November lalu.

“Kes curi itu dilaporkan berlaku di sekitar Kota Bharu iaitu di Kampung Lubuk Pukul Banggu, Binjai; Padang Kiat, Sering dan Jalan Kelochor.

“Susulan itu pihak polis menahan kelima-lima suspek dan berjaya menyelesaikan lima kes curi motosikal di sekitar Kota Bharu.

“Walau bagaimanapun, IPD Kota Bharu masih meneruskan siasatan lanjut yang berkemungkinan ada pembabitan rakan subahat atau kes jenayah yang lain,” katanya tadi.

Beliau berkata, semakan rekod jenayah mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Kesemua tangkapan ditahan reman untuk siasatan lanjut. Ketiga-tiga kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top