suliati@hmetro.com.my
PENDAKIAN ke Everest Base Camp (EBC) antara pengalaman yang paling luar biasa dan menakjubkan di dunia.
Terletak di kaki Gunung Everest iaitu puncak tertinggi di dunia, ekspedisi ini tidak hanya sekadar cabaran fizikal, tetapi satu perjalanan yang memberi peluang untuk menikmati keindahan alam semula jadi yang menakjubkan.
Malah, pendakian juga diwarnai dengan budaya dan kehidupan masyarakat Sherpa di Nepal yang cukup unik.
Setiap langkah yang diambil di sepanjang laluan ini membawa pendaki ke pemandangan yang memukau, dari puncak yang ada di Himalaya diliputi salji hingga ke tasik glasier yang tenang.
Bagi 12 pendaki yang terdiri daripada kakitangan dan pesara Universiti Utara Malaysia (UUM), Misi Mendaki Everest Base Camp (EBC) anjuran Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) sempena ulang tahun ke-40 universiti itu September lalu sememangnya kenangan terindah buat mereka.
Selain bertujuan mengibarkan bendera UUM di EBC sempena sambutan ulang tahun universiti ke-40 universiti itu, ekspedisi ini juga untuk memupuk semangat berpasukan dalam kalangan kakitangan UUM.
Pengarah projek yang juga Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Perakaunan TISSA-UUM, Dr Mohd Raime Ramlan berkata panorama indah banjaran Himalaya yang terpampang di depan mata sesuatu yang cukup menakjubkan.
Katanya, dapat melihat matahari terbit di sebalik puncak Gunung Everest juga antara kenangan indah yang tidak akan pernah dilupakannya.
“Segala penat lelah sangat berbaloi dan berlalu bersama angin bayu yang bertiup saat kaki berpijak di EBC.
“Bukan itu saja, perasaan dapat melihat Gunung Everest, Gunung Ama Dablam, Gunung Thamserku, Gunung Nutpse dan Gunung Kallapattar walaupun dari kejauhan, tidak tergambar dengan kata-kata,” katanya.
Perjalanan ke EBC bermula di bandar kecil Lukla yang terkenal dengan lapangan terbang dianggap antara paling mencabar di dunia.
Dari situ, pendaki akan mula mengharungi laluan menghubungkan beberapa kampung dan bandar kecil di sepanjang lembah Khumbu.
Ramai yang beranggapan cabaran untuk sampai ke EBC bermula dari Lukla, namun bagi Dr Mohd Raime, ia sudah bermula sebelum tiba di Lukla lagi.
Katanya, dari Kathmandu, mereka perlu mengambil penerbangan ke Lukla, namun tidak berjaya dan memaksa mereka menaiki van selama empat jam ke Ramechhap (empat jam) sebelum ke Lukla keesokan paginya.
“Selain itu, cuaca sejuk, laluan berbatu, kadar oksigen yang rendah dan keadaan cuaca tidak menentu juga antara cabaran yang cukup menguji kami.
“Suhu paling rendah, satu darjah Celsius ketika kami menawan puncak Gunung Kallapattar setinggi 5,565 meter (m) kurang 12 jam selepas tiba di EBC.
“Mendaki di altitud tinggi, cuaca sejuk, kadar oksigen rendah menyebabkan peserta memerlukan tenaga yang lebih dan cepat penat.
“Kami juga perlu beradaptasi dengan suhu sejuk pada setiap ketinggian yang dilalui. Keadaan ini mengakibatkan ada antara peserta yang mengalami penyakit akut gunung (acute mountain sickness atau AMS). Namun, kesan berkurangan setelah ambil ubat,”katanya.
Pendakian ke EBC bukan sahaja menawarkan pemandangan mengagumkan, tetapi juga pengalaman untuk berhadapan dengan alam yang tidak terjamah.
Walaupun cuaca boleh berubah-ubah dengan cepat dan angin kencang sering melanda, semangat meneruskan pendakian dan tiba di destinasi menguatkan tekad pendaki.
Setiap langkah diambil adalah satu pengorbanan dan pencapaian yang memberi penghargaan yang luar biasa.
“Disebabkan itu, apabila sampai di EBC, selain bersyukur kerana dapat menjayakan misi ini, perasaan ketika itu sememangnya tidak tergambar dengan kata-kata.
“Malah, tidak hanya pemandangan gunung-ganang yang disajikan, pendakian ini juga membawa kami melihat sendiri masyarakat setempat yang cukup unik.
“Kehidupan masyarakatnya yang ramah dan tradisi yang diwarisi turun-temurun membuatkan kami berasa kedatangan dialu-alukan,” katanya.
Berkongsi persediaan yang dibuat sebelum pendakian bermula, Dr Mohd Raime berkata mereka melakukan banyak pendakian termasuk mendaki Gunung Jerai, Bukit Bendera, Bukit Talipong, latihan kecergasan di kawasan UUM, Sintok.
“Saya sendiri membuat sesi penerangan kepada peserta agar semua lebih jelas mengenai trek dan keadaan di sepanjang trek khususnya dari segi kemudahan penginapan di ‘guest house’, risiko AMS dan tip kekal sihat sepanjang trip.
Daripada segi segi pengurusan kewangan pula, nasihat Dr Mohd Raime seelok-eloknya bawa duit lebih kerana ada risiko trip tidak mengikut jadual.
“Sebagai contoh, kumpulan kami terkandas empat hari di Lukla, tiada penerbangan pulang kerana cuaca buruk. Kami perlu membayar kos penginapan, makan dan minum.
“Di Ramechhap, kami terpaksa menaiki kapal terbang (AS$50) kerana jalan darat rosak teruk disebabkan banjir dan arus deras,”katanya.
Untuk pengurusan masa pula, ia terikat dengan tempoh visa.
Jika lewat, kena bayar lebih. Sebaik-baiknya ikut jadual ditetapkan dan sepanjang pendakian, patuhi masa ditetapkan supaya dapat tiba mengikut jadual.
Walaupun penuh dengan cabaran, ekspedisi ini sangat menarik dan menjadi memori indah.
Dr Mohd Raime besyukur kerana semua peserta memberi kerjasama dan komitmen yang padu terutama ketika terkandas di Lukla serta Ramechhap sekali gus mengakibatkan penerbangan pulang ke Malaysia terpaksa disusun semula.
“Bagi yang merancang ke EBC, nasihat saya buat persiapan mental dan fizikal sekurang-kurangnya satu tahun.
“Fahami trek pendakian dan pilih operator yang biasa membawa pendaki khususnya dari Malaysia.
“Bukan itu saja, ambil perlindungan takaful dan lebihkan bajet untuk kecemasan,”katanya yang merancang ke Nepal lagi untuk trip EBC Three Passes dan EBC Gokyo Lake pada masa akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




