am@hmetro.com.my
Melaka: Geng pecah sekolah dan pejabat kerajaan untuk melakukan curi dikenali sebagai ‘Geng Yoe Gomen’ berjaya ditumpaskan polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Tanjung Kling, di sini, pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, serbuan dilakukan jam 1.50 pagi di satu unit kediaman di situ hasil maklumat awam dan risikan pihaknya.
“Hasil serbuan kita berjaya menumpaskan Geng Yoe Gomen yang aktif melakukan jenayah pecah sekolah dan pejabat kerajaan sejak April lalu dan menahan tiga lelaki dikenali Yeo, Fadil dan Awe berusia 35, 36, dan 40 tahun.
“Dalam serbuan itu polis turut merampas enam telefon bimbit, dua beg sandang dan satu beg pinggang serta dua motosikal milik suspek jenis Honda RS-X FSI150FA.
“Selain itu peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan pecah sekolah dan pejabat kerajaan turut dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, hari ini.
Beliau berkata, modus operandi geng itu adalah memasuki sekolah dan pejabat kerajaan antara jam 1 hingga 4.30 pagi dengan mengumpil pintu di bahagian belakang.
“Di Melaka Tengah, ketiga-tiga suspek terbabit lapan kes pecah masuk enam sekolah selain pejabat pendidikan dan JKR (Jabatan Kerja Raya) dengan menyasarkan wang sahaja membabitkan kerugian RM9,200.
“Mereka juga mengaku terbabit dua kes sama di Alor Gajah dan satu di Jasin, selain di kontinjen luar iaitu satu kes di Kelantan, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan,” katanya.
Christopher berkata, Yeo adalah ketua geng itu dan dianggap ‘pakar’ kerana memiliki 24 rekod pecah rumah manakala Fadil dan Awe masing-masing memiliki 15 dan satu rekod jenayah sama.
“Mereka adalah penganggur yang turut memiliki rekod kesalahan dadah, dan hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang positif dadah methamphetamine.
“Semua mereka direman tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd