razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Genjatan senjata membabitkan Thailand dan Kemboja dijangka dilaksanakan bermula jam 10 malam ini bagi meredakan ketegangan di sempadan kedua-dua negara itu.
Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, pasukan Angkatan Pemerhati ASEAN (AOT) yang berada di Kemboja dan Thailand akan menjadi mekanisme pemerhati untuk memastikan perkara ini dilaksanakan.
Katanya, pihaknya berharap dapat membawa kedua-dua negara semula ke meja rundingan damai kerana keamanan ini adalah milik sejagat dan lama penting untuk dilaksanakan.
“Saya perlu terus menjadi optimis. Saya telah bercakap dengan semua peringkat. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga telah bercakap dengan Perdana Menteri Thailand.
“Semoga optimis benda itu akan berlaku. Walaupun kita kena faham, setiap ceasefire (genjatan senjata) ini bukan seperti orang berlari 100 meter atau pergerakan mekanik bila kita kena stop terus stop.
“Dia ada cooling period (tempoh bertenang). Jadi, walaupun kita kata ceasefire (genjatan senjata) pada jam 10 malam ini mungkin berlaku lagi sporadic shooting tapi bukan membabitkan senjata berat atau senjata besar, senjata-senjata kecil itu mungkin akan terus berlaku. Kerana dia memerlukan satu tempoh cooling off period seketika sebelum dapat berhenti seterusnya.
“Kalau kita ingat yang lepas pada mula-mula ceasefire yang pertama dia mengambil masa 48 jam untuk mereka berhenti terus daripada kita umum ceasefire 48 jam baru berhenti. Yang ini diharapkan akan singkat daripada 48 jam.” katanya ketika dihubungi Buletin Utama TV3, malam ini.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Thailand melancarkan serangan udara di sepanjang sempadan yang dipertikai dengan Kemboja susulan pertembungan baharu, dengan kedua-dua pihak saling tuduh-menuduh melanggar perjanjian gencatan senjata terdahulu.
Seorang anggota tentera Thailand dilaporkan terkorban manakala beberapa lagi cedera akibat tembakan pihak Kemboja di wilayah timur Ubon Ratchathani.
Beliau berkata, tiga perkara utama ditekankan dalam usaha meredakan konflik, iaitu keamanan itu mahal, nyawa itu berharga dan masa itu kritikal.
“Diharapkan semua pasukan dapat terus bertindak sebagai satu unit yang efektif bagi memastikan penyelesaian dicapai secepat mungkin,” katanya
Dalam pada itu, beliau mengesahkan menghadiri mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi tentera Thailand bagi membincangkan kemungkinan rundingan terus serta mengesahkan beberapa isu penting yang dibangkitkan Kemboja.
“Saya bertemu dengan pihak tertinggi tentera Thailand untuk membincangkan kebarangkalian untuk rundingan diteruskan dan untuk mengesahkan beberapa perkara utama atau penting yang ditimbulkan oleh Kemboja dan juga pemakluman daripada Thailand,” katanya.
Mohd Nizam berkata, beliau dan pasukan turut berada di Kemboja bagi mengadakan pertemuan selama hampir dua jam dengan Perdana Menteri negara itu, diikuti rundingan bersama kepimpinan tertinggi tenteranya serta Menteri Pertahanan.
“Pertemuan itu memberi tumpuan kepada ketidaktentuan di sempadan dan permintaan agar Malaysia meneruskan peranan sebagai mediator dan fasilitator dalam memastikan perjanjian terdahulu dipatuhi.
“Malaysia tidak mencampuri urusan dua hala Thailand–Kemboja, sebaliknya hanya menggesa pelaksanaan segera gencatan senjata dan memastikan mekanisme sedia ada seperti Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) dan Suruhanjaya Sempadan Bersama (JBC) dapat berfungsi secara efektif,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




