Georgetown sesak akibat tumpahan minyak diesel sepanjang 1km

Georgetown sesak akibat tumpahan minyak diesel sepanjang 1km

am@hmetro.com.my

Georgetown: Tumpahan minyak diesel dari sebuah lori tangki di Jalan Masjid Negeri di sini, hari ini menyebabkan kemalangan kecil membabitkan dua kereta manakala beberapa motosikal lagi terbabas.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga penunggang motosikal mengalami cedera ringan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, panggilan diterima pihaknya pada jam 3.44 petang.

Katanya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak yang diketuai Azmiza Mustafa ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati kejadian membabitkan tumpahan minyak diesel yang dibawa sebuah lori.

“Kejadian menyebabkan berlaku kemalangan kecil membabitkan dua kereta dan motosikal yang terbabas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut John Sagun berkata, kerja pembersihan dilakukan oleh pasukan penyelamat dengan aliran air dan serbuk pencuci.

“Operasi ditamatkan pada jam 5.47 petang selepas lokasi berkenaan berada dalam keadaan selamat,” katanya lagi.

Sementara itu, kejadian berkenaan menyebabkan kesesakan lalu lintas di sekitar Georgetown berikutan berlaku pada waktu puncak.

Antara laluan terbabit ialah, Jalan Perak, Jalan Ayer Itam, Jalan P Ramlee, Jalan Sungai Pinang, Jelutong dan Jalan Dr Lim Chong Eu.

Pemandu yang mahu dikenali sebagai Izham, 45, berkata, dia terperangkap dalam kesesakan lebih satu jam selepas mengambil anaknya pulang dari Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada jam 5.30 petang.

“Jarak kelas dengan rumah saya di Jelutong hanya kurang daripada 15 minit tetapi hari ini perjalanan jadi satu jam.

“Semua laluan sesak termasuk jalan pintas, tidak lama kemudian barulah saya tahu berlaku tumpahan minyak di situ,” katanya ketika dihubungi di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top