Riyadh: Isteri Cristiano Ronaldo, Georgina Rodriguez memiliki koleksi jam tangan mewah luar biasa yang menampilkan jenama berprestij seperti Rolex, Patek Philippe dan Richard Mille, dengan harganya bernilai ratusan ribu dolar.
Ketika bintang bola sepak Portugal itu terkenal dengan koleksi kereta super mewahnya, Georgina turut membina koleksi jam tangan berkelas tinggi miliknya sendiri.
Georgina pernah dilihat memakai Rolex dengan dail ombre merah terang, bezel bertatahkan berlian dan saiz sarung 31 milimeter. Model itu mempunyai harga senarai di Amerika Syarikat sekitar AS$56,600 (RM225,000).
Rolex Day-Date 36 miliknya yang bernilai kira-kira AS$150,000 (RM604,000) pula menampilkan dail bertatahkan berlian serta 10 batu nilam potongan baguette dalam warna pelangi, menghasilkan kontras menarik dengan sarung emasnya.
Satu lagi koleksi istimewa ialah Richard Mille RM 07-01, bernilai sekitar AS$350,000 (RM1.4 juta). Jam itu menggabungkan emas merah jambu, Carbon TPT dan berlian, selain mekanisme rangka kompleks yang boleh dilihat menerusi dail.
Rolex GMT-Master II “Ice” turut menjadi antara koleksi paling menarik Rodriguez. Model itu diperkenalkan pada 2007 dalam jumlah yang sangat terhad.
Diperbuat sepenuhnya daripada emas putih 18 karat dan dihiasi lebih 30 karat berlian pada dail serta sarung, jam itu pernah menjadi antara model Rolex paling mahal yang dihasilkan, dengan harga senarai sekitar AS$585,000 (RM2.35 juta).
Georgina turut memiliki Rolex Cosmograph Daytona yang diperbuat sepenuhnya daripada emas kuning 18 karat dan menampilkan dail hijau terang.
Jam berukuran 40 milimeter itu menggunakan mekanisme kronograf automatik Calibre 4130 serta mempunyai rizab kuasa kira-kira 72 jam. Sangat menjadi buruan pengumpul, model berkenaan dianggarkan bernilai sekitar AS$75,250 (RM303,000).
Ketika berkunjung ke Doha, Georgina memadankan Patek Philippe Ladies Nautilus dengan gaun tanpa tali yang elegan.
Jam yang bernilai sekitar AS$167,000 (RM672,000) itu daripada salah satu koleksi paling dikenali jenama Switzerland berkenaan, dengan reka bentuk diinspirasikan daripada tingkap bulat kapal.
Rolex Day-Date 36 Turquoise milik Rodriguez pula menampilkan dail turquoise semula jadi dengan sarung emas 18 karat, memberikan penampilan elegan tetapi tersendiri.
Rodriguez sering dilihat memakai model itu dalam gaya kasual walaupun nilainya dianggarkan sekitar AS$70,400 (RM281,000).
Koleksinya turut merangkumi Chopard L’Heure du Diamant, bernilai kira-kira AS$180,000 (RM724,000).
Dihiasi susunan berlian yang teliti, jam berkenaan bukan sahaja berfungsi sebagai aksesori mewah, malah menjadi simbol gaya fesyen dan kehidupan mewah Georgina.
Georgina berkahwin dengan Cristiano Ronaldo pada 11 Ogos, hampir sedekad selepas pasangan itu pertama kali bertemu di sebuah kedai Gucci di Madrid, Sepanyol.
Ronaldo dan Rodriguez membesarkan lima anak iaitu pasangan kembar Eva Maria dan Mateo, 9 tahun; Alana, 8; Bella, 4; serta Cristiano Jr., 16, anak sulung Ronaldo.
© New Straits Times Press (M) Bhd
