Gerai nasi kukus hampir dirempuh bas antara lima disita MBI

Gerai nasi kukus hampir dirempuh bas antara lima disita MBI

am@hmetro.com.my

Ipoh: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil tindakan menyita lima gerai tepi jalan di Taman Klebang Putra, di sini, termasuk gerai makanan yang tular susulan insiden bas sekolah hampir merempuh tiga pelanggan, baru-baru ini.

MBI dalam kenyataan berkata, susulan insiden tular itu pihak berkuasa tempatan (PBT) meningkatkan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu ke kawasan terbabit pagi semalam.

Menurutnya, selain sitaan terhadap lima gerai, dua penjaja dikenakan kompaun RM250 mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja (MBI) 2020 dan disusuli dengan 20 notis mengikut Seksyen 46, Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974.

“Operasi Penguatkuasaan Bersepadu diteruskan di lokasi yang berisiko seperti ini di Ipoh supaya insiden tidak berulang,” katanya.

Menurutnya, peniaga nasi kukus dengan khemah sementara yang terbabit dengan insiden hampir dirempuh bas sekolah itu tidak dilesenkan MBI.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, bas sekolah yang dipandu lelaki berusia 59 tahun hilang kawalan akibat mengalami kerosakan pada stering selain kegagalan brek.

Insiden kira-kira jam 2 petang 11 Disember lalu membabitkan bas sekolah dengan tiga pelanggan, dua daripada mangsa mengalami luka ringan.

Yahaya berkata, bas itu terlanggar penunggang dan pembonceng motosikal yang berhenti di bahu jalan untuk membeli makanan manakala pemandu bas dan penumpang tidak mengalami kecederaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd