am@hmetro.com.my
Kangar: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin percaya Cawangan Khas Bukit Aman mempunyai maklumat berhubung dakwaan gerakan kultus menyimpang berasal dari Korea Selatan yang sedang aktif di negara ini.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau tidak memberikan respons balas terhadap gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk tampil menyerahkan maklumat mengenai kegiatan itu atas sebab sedang mempertimbang beberapa isu lain yang turut menjadi perhatiannya.
“Di samping itu, saya percaya pihak Cawangan Khas Bukt Aman tentu mempunyai maklumat mengenai hal ini. Team (Pasukan) penyelidik yang membentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Perlis juga menyiapkan buku bersama dengan bahan-bahan yang terkumpul,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang isu mengenai kepelbagaian aliran atau agama untuk wujud bersama di negara atau dunia ini.
“Kepelbagaian atau kerencaman cara fikir, kefahaman dan kepercayaan adalah satu realiti yang tidak boleh dinafikan dalam kehidupan manusia di dunia ini.
“Namun begitu, mengiktiraf kepelbagaian tidak semestinya bermaksud kita mengiktiraf kebenaran yang terkandung dalam kepelbagaian itu.
“Walaupun begitu, setiap pihak yang aman, menyakiti atau berpotensi besar mengancam pihak lain boleh hidup bersama dan kita tidak membantah hak untuk wujud bersama, sekali pun mungkin kita tidak mengiktiraf dari segi akidah isi kandungan kepercayaan terbabit,” katanya.
Mengulas isu ajaran berteraskan kultus, Mohd Asri menjelaskan ia merujuk kepada bentuk pegangan melampau terhadap tokoh tertentu sehingga akal dan pertimbangan rasional diketepikan.
“Ajaran kultus biasanya dibina atas ketaatan melampau kepada tokoh sehingga segala perbuatannya tidak boleh dipersoalkan walaupun jelas bertentangan dengan akal, dalil dan fakta,” katanya.
“Tokoh yang mengkultuskan diri sering mengemukakan dakwaan luar biasa berkaitan unsur ketuhanan atau kehebatan rohani, termasuk mendakwa mendapat perlantikan Ilahi, memiliki keajaiban atau menerima pengiktirafan ghaib yang sukar dibuktikan,” katanya.
Beliau berkata, natijah ajaran sedemikian boleh melahirkan pengikut yang fanatik dan sanggup bertindak di luar batas, sekali gus berpotensi menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Hal ini perlu dipantau oleh pihak berkuasa supaya tidak sampai ke tahap di luar kawalan dan mengakibatkan kemudaratan kepada masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Asri memaklumkan, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis bersama pasukan penyelidik sudah mengumpulkan bahan dan menyediakan kajian berkaitan isu berkenaan bagi tujuan pencegahan dan panduan.
Selain itu, beliau turut meminta kerajaan memberi perhatian serius termasuk aspek pemantauan dan siasatan bagi memastikan keamanan serta keharmonian negara terus terpelihara.
Pada 11 Disember lalu, Saifuddin dilaporkan menggesa Dr Mohd Asri segera tampil menyerahkan maklumat berkaitan dakwaan gerakan kultus menyimpang berasal dari Korea Selatan yang sedang aktif di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




