Gergasi Perancis, Lyon disingkir ke Ligue 2

Gergasi Perancis, Lyon disingkir ke Ligue 2

Lyon: Olympique Lyonnais disingkirkan ke Ligue 2, umum badan pemantau kewangan bola sepak Perancis (DNCG), hari ini, selepas menjalankan audit terhadap kewangan kelab itu.

Lyon dalam kenyataan segera memaklumkan mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Lyon sebelum ini diturunkan secara sementara oleh DNCG pada November lalu susulan keadaan kewangan kelab yang tidak stabil, dan keputusan itu disahkan selepas pertemuan antara pemilik kelab, John Textor dan pihak DNCG.

Kelab berkenaan mengecam keputusan itu dalam satu kenyataan rasmi dan menegaskan mereka sudah bekerjasama rapat dengan DNCG serta memenuhi semua permintaan yang dikemukakan.

“Olympique Lyonnais mengambil maklum keputusan yang sukar difahami oleh DNCG dan mengesahkan akan segera membuat rayuan,” menurut kenyataan kelab.

“Dengan dana yang sudah dibuktikan dan kejayaan di atas padang yang membolehkan kami layak ke kejohanan Eropah dua musim berturut-turut, kami benar-benar tidak faham bagaimana satu keputusan pentadbiran boleh menyebabkan kelab Perancis sebesar ini diturunkan liga,” kata kenyataan kelab itu lagi.

Keputusan itu hadir hanya sehari selepas ahli perniagaan dari Amerika Syarikat (AS), Textor, menjual 43 peratus pegangan sahamnya dalam kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Crystal Palace.

“Terima kasih kepada suntikan modal daripada pemegang saham dan hasil jualan saham Crystal Palace, kedudukan tunai kami bertambah baik dengan ketara dan kami mempunyai sumber yang mencukupi untuk musim 2025/26,” tambah kenyataan Lyon.

Pada Oktober lalu, Kumpulan Eagle Football milik Textor mendedahkan bahawa mereka mempunyai jumlah hutang sekitar £422 juta (RM2.43 bilion) sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan kewangan Lyon.

Sejak itu, Lyon cuba menstabilkan kewangan dengan menjual beberapa pemain utama seperti Maxence Caqueret ke Como dan Rayan Cherki ke Manchester City.

Namun, usaha itu masih gagal meyakinkan pihak berkuasa bahawa situasi kewangan kelab sudah cukup kukuh untuk membatalkan hukuman penyingkiran berkenaan.

Lyon, yang pernah menjuarai Ligue 1 sebanyak tujuh kali berturut-turut antara 2002 hingga 2008, layak ke Liga Europa musim depan selepas menamatkan saingan Ligue 1 di tangga keenam.

Jika keputusan penyingkiran ini kekal, Stade de Reims yang sebelum ini tersingkir dalam perlawanan play-off selepas tewas kepada Metz, akan menggantikan Lyon dalam saingan Ligue 1 musim depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top