Gesa Speaker dedah Ahli Parlimen enggan terima vaksin

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR : Seorang Ahli Parlimen hari ini meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mendedahkan senarai Ahli Parlimen yang masih belum mendapatkan vaksin biarpun mereka sudah diperuntukkan bekalannya sejak pelaksanaan fasa satu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Mac lalu.

Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) ketika berucap pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini mendakwa, antara alasan mereka untuk tidak mengambil vaksin adalah atas faktor kepercayaan agama.

“Kita tahu Speaker sudah umumkan ada beberapa Ahli Parlimen yang masih belum vaksin. Khabar angin mengatakan ada Ahli Parlimen tidak vaksin disebabkan soal kepercayaan.

“Saya harap kalau boleh Datuk Speaker dedahkan Ahli-ahli Parlimen yang tidak mahu vaksin sebab saya percaya kita ambil vaksin ini tidak akan merendahkan fahaman agama kita. Jadi, tolong tunaikan tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat,” katanya.

Azhar sebelum ini memaklumkan lebih 95 peratus Ahli Parlimen sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19, manakala 35 yang lain sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos, sementara empat Ahli Parlimen belum mendapatkan suntikan vaksin atas sebab-sebab tertentu, bagaimanapun mereka tetap dibenar hadir ke sidang khas Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Akmal juga meminta kerajaan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin di bandar-bandar utama di seluruh negara bagi membolehkan sektor ekonomi dibuka, memandangkan kawasan itu mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Kita mahu kawasan (bandar) ini dibuka segera. Masalah sekarang di Selangor sudah ada sedikit penyelesaian, cuma di kawasan bandar macam Johor Bharu, sampai bila perlu bergelut (untuk dapatkan vaksin) dan kita tidak mahu pengalaman seperti di Kuala Lumpur dan Selangor (kes jangkitan meningkat mendadak).

“Bandar ini perlu dibuka sebab kita bergantung kepada ekonomi dan kalau konsep gelembung boleh digunakan untuk sektor ekonomi di bandar-bandar ini termasuk di Johor Bharu dan Singapura, boleh diperkenalkan. Saya memang mengharapkan operasi lonjakan kapasiti vaksin diutamakan di pintu masuk negara,” katanya.

Sementara itu, Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sebuti) pula meminta kerajaan menyediakan panduan jelas mengenai sijil digital vaksinasi, termasuk mencadangkan supaya sijil itu diintegrasikan dalam pangkalan sistem Jabatan Imigresen.

“Saya ingin mohon kerajaan supaya data rakyat yang sudah menerima dua dos vaksin turut diintegrasikan dalam sistem Imigresen supaya data keluar masuk mereka dapat lihat siapa yang sudah divaksin.

“Ketika ini ramai rakyat yang terpaksa mencetak bukti mereka sudah dapat dua dos. Saya menyarankan supaya ada panduan jelas mengenai sijil digital vaksinasi ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd