GGR Motor Sdn Bhd melakar sejarah apabila muncul sebagai syarikat anak tempatan pertama yang berjaya membuka kilang pemasangan sepenuhnya untuk motosikal elektrik (EV), sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju dalam industri mobiliti hijau negara.
Pengarah Urusannya, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi berkata, majlis memperkenalkan Motosikal EV GGR akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Khairul Firdaus Akhbar Khan di Saloma KLCC pada Sabtu ini.
Menurut Mussadiq, pada majlis itu, GGR juga akan melancarkan lima model EV termasuk model utama Lion G1 yang ditawarkan pada harga pasaran RM3,999.

Majlis pra-pelancaran motosikal EV GGR Motor yang berlangsung di Saloma KLCC.
“Pada hari itu juga diadakan Karnival EV Rider Malaysia 2025 yang turut mendapat penglibatan antarabangsa dari Thailand, Vietnam, Indonesia dan China, termasuk kehadiran pempengaruh EV dan pencipta kandungan digital dari dalam luar negara,” katanya.
Antara tetamu kenamaan yang akan hadir pada hari berkenaan adalah Pengerusi GGR Motor, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Zulfikri Osman.
Karnival yang bermula seawal jam 8 pagi itu turut diserikan dengan kehadiran artis tempatan antaranya Ajak shiro, Nabil Ahmad, Johan, Cat Farish, Amer Masdi, Ronnie Hussein, Black Hanifah, Bella Astillah,Akhmal Nazri dan Farid Kamil.
Selain itu di tapak karnival Lanai Matic, pelbagai acara menarik diadakan antaranya persembahan band indie termasuklah Jemson, The Woohoo, Iqbal serta gabungan DJ tempatan dan antarabangsa antaranya Iksan Skuter (Indonesia), DJ Teera (Thailand) dan DJ Alip Mazlan (Malaysia).
Jelas, Mussadiq orang ramai turut berpeluang memiliki motosikal EV GGR dengan menyertai cabutan bertuah menerusi pembelian t-shirt GGR bernilai RM40.
Mengulas mengenai tempahan awal motosikal EV berkenaan, Mussadiq berkata, sambutan orang ramai amat menggalakkan.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat luar biasa. Ini di luar jangkaan dan membuktikan keyakinan rakyat terhadap kenderaan mesra alam yang berkualiti dan mampu milik,” katanya.

Karnival EV Rider Malaysia anjuran GGR Motor di Saloma KLCC pada Sabtu, 28 Jun 2025.
Tambahnya, kilang pemasangan GGR Motor beroperasi di Damansara dan bersedia untuk pengeluaran besar-besaran motosikal EV jenama tempatan dengan keseluruhan pelaburan bernilai kira-kira RM20 juta.
Menurutnya, sambutan terhadap motosikal EV GGR amat menggalakkan apabila syarikat itu menerima tempahan awal dalam masa seminggu, dengan bayaran tempahan RM1,000 setiap unit.
Dalam memastikan kelangsungan dan kekuatan industri EV nasional, GGR menjalinkan kerjasama strategik bersama PMH Motor sebagai pengedar utama, Bateriku.com sebagai rakan servis dan penyelenggaraan rasmi serta PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) bagi penggunaan produk pelincir EV dan sokongan bengkel MotoExpert.
Turut terlibat ialah TVET@KKDW dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam membangunkan pusat latihan kemahiran serta program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, dan Cape EMS Berhad (VECTRIX) sebagai rakan teknologi dan pelaburan.
Untuk maklumat lanjut layari media sosial Facebook, TikTok, Instagram GGR Motor.