am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan menggiatkan semula kempen memakan buah-buahan tempatan bagi memastikan industri berkenaan lebih berkembang selain menghasilkan pendapatan lebih tinggi kepada petaninya.
Sehubungan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mengarahkan semua agensi kerajaan Persekutuan selain negeri menyediakan buah-buahan tempatan dalam hidangan yang disediakan bagi majlis rasmi.
“Kerajaan sejak dulu dah galak (makan buah-buahan tempatan) tetapi kadang-kadang orang agak lalai sekarang. Oleh itu, kita akan giatkan semula kempen untuk makan buah-buahan tempatan.
“Perancangan kempen makan buah-buahan tempatan sudah ada, malah peruntukan juga disediakan untuk menggiatkan semula kempen ini. Program kempen pertama adalah pada 5 Julai ini di Tawau, Sabah, sebelum ia diperluas ke negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Hari Nanas Malaysia di Pavilion Nanas Karnival Jom Heboh (KJH), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali.
Pada 20 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengarahkan semua jabatan kerajaan untuk tidak menggunakan barangan import, terutamanya makanan, dalam acara rasmi bagi menggalakkan penggunaan produk tempatan.
Anwar dilaporkan berkata, penggunaan bahan tempatan dalam acara kerajaan bukan sahaja menyokong ekonomi negara, tetapi turut memberi peluang lebih luas kepada petani tempatan untuk memasarkan hasil mereka.
Dalam pada itu, Mohamad turut memuji kejayaan LPNM dan sektor nanas negara dalam meningkatkan pengeluaran nanas negara sehingga melepasi RM1 bilion.
Katanya, sehingga kini, Johor masih kekal sebagai pengeluar nanas utama negara, dengan kawasan tanaman yang subur sejak dahulu lagi.
“Johor memang sejak dulu jadi pengeluar utama namun negeri-negeri lain juga kini giat bersaing, khususnya Sarawak yang sedang membuka ladang-ladang baharu secara intensif,” katanya.
Dalam ucapannya, Mohamad turut berkongsi perkembangan varieti baharu nanas dikenali sebagai Sarawak Gold 1 (SG1), yang diperoleh hasil kajian dan penanaman di Sungai Tukau, Miri, Sarawak.
“SG1 ini tahan penyakit dan boleh dituai dalam tempoh kurang setahun. Biasanya nanas ambil masa 12 hingga 14 bulan, tapi varieti ini kurang dari setahun. Kita dah mula bawa masuk satu juta benih ke Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata, SG1 kini dalam peringkat awal pengembangan dan dijangka akan memperkukuh lagi sumbangan sektor nanas kepada ekonomi negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd