Goon International College (GIC) menjalinkan kerjasama strategik dengan Institut Pertanian Bogor (IPB University), Indonesia bagi menyediakan laluan berstruktur kepada pelajar Malaysia melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan Veterinar.
Pengarah GIC, P. Prabagaran berkata, inisiatif berkenaan bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar tempatan untuk menceburi profesion veterinar melalui institusi pengajian yang mempunyai kepakaran dalam bidang terbabit.
“Kerjasama GIC dengan IPB University memberi tumpuan khusus kepada program Ijazah Sarjana Muda Perubatan Veterinar di Sekolah Perubatan Veterinar dan Sains Bioperubatan universiti berkenaan.
“Program selama lima tahun itu dinyatakan setaraf dengan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), manakala graduan boleh memohon pendaftaran dengan Majlis Veterinar Malaysia (MVC) tertakluk pada syarat pendaftaran yang ditetapkan.
“IPB University dipilih sebagai rakan strategik berdasarkan kecemerlangan akademik, pengiktirafan antarabangsa dan kemudahan latihan klinikal yang disediakan,” katanya selepas majlis menandatangani kerjasama dengan IPB University di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron mendedahkan Malaysia berdepan kekurangan lebih 5,900 doktor veterinar berbanding anggaran keperluan negara.
Katanya, jumlah doktor veterinar aktif sekitar 2,600 orang berbanding keperluan dianggarkan 8,500 orang, sehubungan itu usaha memperluas akses kepada pendidikan veterinar dilihat penting bagi melahirkan lebih ramai tenaga profesional.
Menurut Prabagaran, Sekolah Perubatan Veterinar dan Sains Bioperubatan IPB Univerity turut berada dalam kelompok 100 terbaik dunia bagi bidang sains veterinar menurut QS World University Rankings by Subject, sekali gus menawarkan persekitaran pembelajaran yang menyokong pembangunan profesional veterinar.
Katanya, selain pembelajaran akademik, pelajar berpeluang memperoleh pengalaman praktikal melalui Hospital Haiwan Pengajaran IPB University (RSHP), merangkumi bidang pembedahan, perubatan dalaman, diagnostik dan penjagaan kesihatan haiwan.
Melalui laluan yang diperkenalkan katanya, pelajar Malaysia akan mengikuti Program Asasi GIC sebelum meneruskan pengajian ke IPB University selepas menamatkan program berkenaan.
“Laluan itu dijangka memberi pilihan tambahan kepada pelajar yang berminat dalam bidang veterinar, khususnya mereka yang berdepan persaingan untuk mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi tempatan.
“Bagi menyokong usaha itu, GIC menawarkan biasiswa berjumlah RM1.2 juta kepada pelajar Program Asasi yang cemerlang dan memenuhi syarat bagi pengambilan tahun 2027.
“Biasiswa itu bertujuan membantu pelajar berpotensi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, selain mengurangkan kekangan kewangan yang mungkin dihadapi dalam mengejar kelayakan profesional.
“Bidang perubatan veterinar adalah profesion yang mendapat permintaan tinggi dan Malaysia memerlukan lebih ramai doktor veterinar berkelayakan untuk memenuhi keperluan pelbagai sektor,” katanya.
Kerjasama GIC dan IPB University diharap dapat menyumbang kepada usaha jangka panjang memperluas peluang pendidikan veterinar untuk pelajar Malaysia, di samping membantu memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor kesihatan haiwan, penternakan dan keselamatan makanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




