Gigih Bunga berhasil

Gigih Bunga berhasil

norhayati_nordin@hmetro.com.my

NAMA penyanyi rap wanita, Bunga Isme, 25, bukanlah asing dalam industri hiburan tempatan berikutan lagu-lagunya yang boleh dikatakan semakin mendapat tempat di hati pendengar.

Apatah lagi, penampilan gaya berbaju kurung dan kebaya termasuk berhijab, turut dianggap nilai tambah tersendiri buat Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari.

Ditemui pada majlis pelancaran album pertamanya, Seharum Nama- Bunga baru-baru ini, akuinya dia mengambil masa beberapa tahun sejak 2021 lagi untuk menghasilkan album itu kerana amat teliti.

“Selain itu, pada masa sama saya juga masih belajar dan perlu menyelesaikan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Negeri Sembilan.

“Penat juga sebenarnya apabila belajar dan menyanyi pada masa yang sama. Namun, saya kena buat juga sebab ilmu sangat penting dan ayah saya suruh habiskan hingga peringkat ijazah,” katanya.

Sebelum itu, Bunga juga terlebih dulu menyelesaikan pengajiannya di peringkat diploma dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan di UiTM. Dia amat bersyukur urusan pelajaran kini sudah selesai.

Berbicara mengenai album Seharum Nama-Bunga itu, wanita yang sudah berumah tangga ini berkata, ia memuatkan 10 lagu dan turut disifatkannya sebagai transisi kepada perjalanan karier seninya yang bermula pada 2019.

“Alhamdulillah, akhirnya hasil kerja keras dan penat lelah saya selama beberapa tahun ini untuk menyiapkan album pertama, Seharum Nama- Bunga terbayar juga.

“Malah, album ini pun bagi saya bukan sekadar tanda mata buat peminat dan pendengar, tetapi ia sebenarnya adalah manifestasi saya terhadap muzik merangkumi perasaan, perjalanan dan jiwa yang tulus.

“Semuanya saya lakukan secara cermat, termasuk pada pilihan lagu dibuat juga lebih berhati-hati agar dapat memuaskan hati semua pendengar album ini. Saya mahu mereka (pendengar) rasa puas dengan hasil produk berkualiti,” katanya.

Sehubungan itu, antara lagu-lagu yang terdapat dalam album Seharum Nama-Bunga ialah Tak Tidur Malam, Buai, Jatuh, Dengarkanlah, Intan Payung (duet bersama Noraniza Idris), Apadehal dan banyak lagi.

Ditanya juga mengenai kehidupan peribadinya, Bunga yang sudah dua tahun bergelar isteri kepada komposer dan penerbit lagu, Amzar Sabri masih belum dikurniakan cahaya mata.

Katanya, dia dan suami sebenarnya merancang juga untuk menimang anak kerana mereka mahu lebih dulu memberi fokus terhadap kerjaya seni dan menstabilkan kewangan masing-masing.

“Saya dan suami hingga kini masih bekerja keras mencari wang agar kami dapat memberikan kesenangan buat anak-anak sekiranya diberi rezeki menimang zuriat nanti.

“Sekiranya sudah mempunyai kewangan stabil, saya juga mahu menjaga dan membesarkan anak-anak sendiri kerana itu yang lebih baik untuk keluarga kami.

“Saya memang nak ada anak sendiri, tapi bukan sekaranglah. Rezeki anak ini biar Allah tentukan. Cuma, kalau dah sampai rezeki, saya dan suami tidak akan menolaknya.

“Lagipun, saya juga ada anak saudara seramai 24 orang di sebelah emak saya saja. Saya memang dah terbiasa dengan budak-budak dari bayi sampailah mereka dewasa,” katanya bersyukur ahli keluarga memahami.

Menurut Bunga, dia bagaimanapun mahu memastikan urusan pendidikan, kewangan, makan dan minum anak-anak dapat disediakan sebaiknya kerana zuriat adalah amanah yang harus ibu bapa bertanggungjawab dalam segala aspek.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top