suliati@hmetro.com.my
TERNYATA Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukanlah sekadar pilihan kelas kedua, sebaliknya laluan berpotensi buat pelajar yang cenderung menggilap kemahiran yang ada dalam diri hingga berjaya menempa nama di dalam atau luar negara.
Tidak terkecuali, Penyelidik Kanan di Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii), Dr Wan Noor Sofia Wan Shamsuddin, 30, yang tidak lokek berkongsi kejayaan sebaik mengikuti pengajian dalam TVET dan kariernya juga berkaitan bidang berkenaan.
MARii adalah agensi strategik di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Malah, Dr Wan Noor Sofia juga bersyukur kerana menjadi antara perintis dalam bidang TVET.
Besar harapannya supaya program TVET dapat diangkat sebagai arus perdana dalam bidang pendidikan dan bukan lagi dianggap sebagai pilihan kedua.
“Saya juga berharap bidang TVET dapat menjadi platform dalam menggalakkan lebih ramai wanita dalam bidang kejuruteraan.
“Siapa kata perempuan tak boleh bertukang, tidak boleh tukar minyak hitam?
“Mencipta kepelbagaian dalam industri yang didominasi lelaki ini adalah penting. Kita memerlukan pandangan unik dan penyelesaian masalah daripada semua jantina, mencipta tempat kerja yang selamat dan menyokong semua termasuk wanita,” katanya.
Mengimbau kembali perjalanan hidupnya dari keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), kemudian menyambung pengajian Ijazah sarjana muda dan ijazah doktor falsafah (PhD) di University of South Australia hingga kerjaya hari ini, Dr Wan Noor Sofia merasakan pengajaran paling besar adalah kebolehan menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Menerusi perubahan teknologi yang ada sekarang, perlunya sikap sentiasa meningkatkan kemahiran dan melatih semula kepakaran untuk mendapatkan keberkesanan yang lebih tinggi.
“Sebagai contoh, dengan Revolusi Industri 4.0 dan kecerdasan buatan (AI), orang mungkin berfikir robot akan menggantikan kita. Tetapi saya percaya ini adalah situasi menang-menang.
“Daripada melakukan kerja manual seperti mengecat kenderaan, kita seharusnya mampu mengawal robot. Biarkan robot melakukan kerja berat, kita harus menyediakan diri dengan penyelenggaraan robot, cara memprogramkannya dan cara membaiki robot.
“Justeru, bersikap fleksibel untuk mempelajari perkara baharu adalah penting,” katanya.
Menurut laporan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 95 peratus graduan TVET mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan.
Ini menunjukkan bahawa graduan TVET adalah relevan dalam pasaran pekerjaan di Malaysia.
Sementara itu, World Bank juga melaporkan, Malaysia memerlukan peningkatan sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030 untuk terus bersaing secara global dalam bidang pembuatan.
Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (New Industry Master Plan 2030) pula menyoroti dua aspek utama iaitu pembangunan tenaga kerja mahir dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi dalam sektor perindustrian.
“Di sini kita boleh membuat kesimpulan bahawa, graduan TVET berada dalam kedudukan yang sangat strategik untuk memenuhi permintaan industri dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Oleh itu, bagi pelajar lepasan SPM yang mungkin keliru dengan masa depan, pilihlah pengajian dalam bidang apa sahaja yang diminati.
“Kepada yang berminat untuk meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan, saya sangat mengesyorkan untuk meneroka pendidikan TVET terutama di institusi Mara kerana kebolehpasaran pekerjaan lepasan TVET di Malaysia adalah tinggi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd