
Hubungan Jinping (kanan) dan Trump kini memasuki fasa baharu.
BEIJING – Retorik amaran yang biasanya sinonim dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kini nampaknya beralih kepada rakan sejawatannya di China, Xi Jinping.
Ketika sidang kemuncak kuasa besar di Beijing pada Khamis, Jinping dengan lantang memberi peringatan sebarang kesilapan tentang isu Taiwan berisiko menjerumuskan kedua-dua negara ke dalam konflik lebih berbahaya.
“Isu Taipei merupakan agenda paling penting dalam hubungan AS-China. Mampukah Beijing dan Washington mengatasi ‘Perangkap Thucydides’ (kuasa besar sedang meningkat mencabar kuasa besar sedia ada).
“Kerjasama memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak manakala konfrontasi pula membawa mudarat,” ujarnya menerusi ucapan pembukaan yang berlangsung selama kira-kira dua jam dan 15 minit.
Sebagai respons, Taiwan menyifatkan China sebagai ‘ancaman tunggal’ kepada keamanan serantau sedangkan AS berulang kali mengesahkan sokongan yang jelas kepada mereka.
Pada Isnin lalu, Trump memaklumkan beliau akan membincangkan penjualan senjata AS kepada Taiwan dengan Jinping, satu langkah yang berbeza daripada pendirian tradisional Washington yang sebelum ini enggan melibatkan Beijing dalam isu tersebut.
Permusuhan Washington-Beijing sebelum ini seakan-akan reda selepas ketibaan Trump disambut mesra oleh Jinping.
Kunjungan pemimpin Republikan itu adalah yang pertama oleh Presiden AS dalam tempoh hampir sedekad sebagai usaha untuk memulihkan hubungan antara AS-China.
Sejak lawatan terakhir Trump pada 2017, hubungan kedua-dua negara terus dibayangi ketegangan dengan perang perdagangan yang sengit sepanjang 2025 dan perbezaan pendirian dalam pelbagai isu utama global. – AFP



