Giliran Vilahamn keluar dari Tottenham

Giliran Vilahamn keluar dari Tottenham

TOTTENHAM Hotspur menamatkan khidmat pengendali skuad wanita, Robert Vilahamn, selepas dua tahun menerajui skuad tersebut.

Jurulatih kelahiran Sweden itu sebelum ini mencipta sejarah apabila membawa Spurs ke perlawanan akhir Piala FA Wanita buat julung kalinya pada Mei 2024.

Namun, prestasi hambar dalam saingan Liga Super Wanita musim ini menyaksikan kelab London itu menamatkan kempen di tangga kedua tercorot.

Tottenham turut mencatatkan rekod pertahanan mudah bolos apabila hanya satu tangga lebih baik daripada Crystal Palace yang tersingkir ke liga bawahan.

Dengan hanya 20 mata diraih sepanjang musim, jumlah itu kurang 11 mata berbanding pencapaian mereka pada musim 2023/24.

“Sepanjang tempoh Robert bersama kami, terdapat beberapa detik istimewa yang tidak dapat dilupakan.

“Namun begitu, keputusan dan prestasi musim ini tidak mencapai tahap yang diharapkan. Justeru, kami merasakan sekarang adalah masa yang tepat untuk melakukan perubahan,” kata Pengarah Urusan Bahagian Wanita Tottenham, Andy Rogers, dalam satu kenyataan.

Pemergian Vilahamn berlaku selepas pembantu kanan beliau, Vicky Jepson, terlebih dahulu meninggalkan kelab bagi menyertai pasukan remaja wanita Amerika Syarikat.

Pemecatan Vilahamn hadir hanya dua hari selepas kelab turut menamatkan kontrak jurulatih pasukan lelaki, Ange Postecoglou, walaupun jurulatih itu berjaya menghadiahkan kejuaraan Liga Europa ke London.

Scroll to Top