am@hmetro.com.my
Lenggong: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan 55 kanak-kanak penghuni rumah amal kendalian Global Ikhwan Services and Busniess (GISB) Holdings (GISBH) di Perak diselamatkan menerusi Op Global, setakat semalam.
Saarani Mohamad berkata, kini semua kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah itu ditempatkan di rumah jagaan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Setakat semalam sudah ada 55 orang kanak-kanak terbabit sudah dikumpulkan di pusat jagaan di bawah JKM itu. Mereka dari semua daerah di Perak.
“Tidak dapat dinafikan memang ada (rumah amal GISBH di Perak) dan saya sudah minta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim untuk mengumpul maklumat dan data, serta membuat laporan,” katanya ketika ditenui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Rimba Raid Lenggong 2024 di Kampung Beng, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.
Saarani yang juga memegagang portfolio Exco Agama Islam Perak berkata lagi, sebarang keputusan untuk Perak bagi memfatwakan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH adalah sesat sebagaimana yang sudah dilakukan di negeri antaranya Perlis, akan mengikuti seperti apa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan nanti.
Katanya, beliau juga akan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI)selepas laporan lengkap mengenai GISBH di Perak diterima daripada JAIPk.
Kata Saarani, penentuan bagi klasifikasi geeakan GISBH di Perak sama ada serius atau tidak, ia bergantung kepada hasil kajian yang dijalankan oleh JAIPk kelak.
“Secara kebetulan, Sultan Perak adalah pengerusi MKI yang akan mengendalikan masalah ini, jadi negeri Perak kita sedang mengumpul maklumat. Kita kena tunggu Majlis Fatwa Kebangsaan, dan kita akan ikuti apa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Sehingga laporan lengkap (diterima), baru saya akan menghadap Sultan Nazrin. Kita kena tunggu laporan kajian JAIPk selaku jabatan yang terbabit itu, bersama polis,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




